Pesara Leftenan Jeneral, dua pegawai ATM didakwa terima rasuah

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Dua pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan seorang bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan ATM mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas 17 pertuduhan meminta, menyetujui dan menerima suapan.

Kolonel Che Ahmad Idris, Brigedier Jeneral Mohammed Feizol Anuar Ayob dan Leftenan Jeneral (Bersara) Datuk Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan membuat pengakuan terhadap 17 pertuduhan selepas dibaca di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

Mengikut pertuduhan ke atas Che Ahmad, dia didakwa atas lima pertuduhan iaitu satu meminta suapan (RM500,000); satu pertuduhan menyetujui terima suapan (RM500,000) dan menerima suapan (RM105,000) daripada Pengarah FEHM Entity Sdn Bhd, Elias Jemadi Tajudin.

Ia sebagai dorongan tertuduh sebagai Ketua Cawangan Peperangan Siber Strategik, Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef) mencadangkan pelantikan syarikat itu dilantik secara rundingan terus bagi perkhidmatan senggaraan untuk bahagian staf.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Pahlawan 1/2, Kompleks Perumahan Tun Osman Jewa, Mindef antara September 2019 hingga 7 April tahun ini.

Mohammed Feizol, dia didakwa atas lima pertuduhan iaitu menerima rasuah berjumlah RM128,000 melalui dua individu iaitu anak perempuan Elias Jemadi, Nurin Nazwa selaku Penolong Pengurus syarikat dan Hishamuddin Johari selaku Pengarah Eksekutif syarikat berkenaan.

Wang itu diterima sebagai dorongan menggunakan jawatannya ketika itu selaku penasihat ketenteraan kepada Menteri Pertahanan, Mindef untuk membantu menyerahkan Surat Niat.

Kesalahan didakwa dilakukan di parkir Masjid Khalid Al-Walid Mindef, Jalan Padang Tembak; parkir Dorset Residence Sri Hartamas, Taman Sri Hartamas; pejabat Syarikat FEHM Entity Sdn Bhd; Jalan Wangsa Maju dan Jalan Bukit Melawati, Bukit Melawati antara 30 Oktober hingga 24 Jun tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara tertuduh ketiga, Sheikh Mokhsain didakwa enam petuduhan iaitu meminta suapan (RM1 juta) dan menerima suapan berjumlah RM226,000 daripada individu sama.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah hotel terkemuka di Jalan Sultan Ismail; Pejabat Ketua Pengarah Pertahanan dan Jalan Dutamas di sini antara 20 Jun 2019 hingga 5 Jun 2020.

Dalam pada itu dia berdepan satu lagi pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM50,000 daripada Syed Omar Syed Mohamad sebagai upah ketika menjawat jawatan sama kerana melantik Syarikat Malvus Sense Sdn Bhd melaksanakan perolehan, pembekalan, penghantaran, latihan dan pentauliahan pada 26 Jun lalu di pejabat Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Kementerian Pertahanan.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Nik Isfahanie Tasnim Wan Abd Rahman meminta mahkamah memberikan jaminan RM100,000 setiap tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Noor Hafizan Zakaria pula meminta supaya Sheikh Mokhsin diikat jamin sebanyak RM20,000 bagi satu pertuduhan tambahan.

Bagaimanapun, peguam Gooi Soon Seng, Azrul Zulfikli Stork, Datuk Mohd Shahrom Mohamad dan P G Cyril yang mewakili ketiga-tiga tertuduh, merayu supaya jumlah jaminan rendah diberikan dengan alasan kesemua tertuduh perlu menyara anak serta isteri.

Sabariah kemudian membenarkan Che Ahmad diikat jamin sebanyak RM80,000 manakala Mohammed Feizol RM60,000 dan Sheikh Mokhsin RM110,000 dengan seorang penjamin.

Ketiga-tiga tertuduh dikehendaki memenuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Mahkamah turut menetapkan kes berkenaan disebut semula pada 27 November ini.