Bekas pembantu tadbir Kemas didakwa terima rasuah

Norshahril Ramlee, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima suapan empat tahun lalu.
Norshahril Ramlee, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima suapan empat tahun lalu.
A
A
A

MELAKA - Seorang bekas pembantu tadbir kanan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) negeri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dua pertuduhan memperoleh rasuah membabitkan kontrak kerja pembekalan jabatan itu.

Norshahril Ramlee, 39, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim, Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh iaitu sebagai pembantu tadbir kanan Kemas didakwa telah menerima suapan berjumlah RM7,000 daripada Mohd Hyzery Elec sebagai upah memberikan kerja pembekalan alat ganti kelengkapan pejabat, elektrikal dan lain-lain kepada syarikat Bati Enterprise.

Dia turut didakwa menerima upah sebanyak RM2,500 bagi membekalkan carta organisasi jabatan, carta pergerakan pegawai dan kakitangan daripada individu sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di Menara Persekutuan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka pada 14 Mei 2016 dan di Jalan Melor 1, Taman Peringgit Jaya pada 14 November 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 17(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwanshah Abdul Samat mencadangkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin bagaimanapun tertuduh merayu jaminan dikurangkan kerana perlu menanggung isteri serta tiga orang anak yang masih bersekolah, selain berdepan kesukaran mendapat pekerjaan tetap susulan pandemik koronavirus (Covid-19).

Hakim Elesabet kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri ke pejabat SPRM pada setiap bulan sehingga kes selesai.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 2 Disember.