X

Kindly register in order to view this article
!

Langkah komprehensif diambil atasi banjir kilat

Mohd Sharkar (kanan) ketika meninjau di kawasan ban selepas kejadian banjir kilat di Taman Mentakab Indah semalam.
A
A

TEMERLOH - Satu langkah komprehensif bakal diambil bagi menangani masalah banjir kilat yang menjejaskan 330 rumah penduduk di Taman Mentakab Indah selepas hujan lebat hampir tiga jam kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang,Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, kejadian sama yang turut dianggap besar pernah berlaku dengan kali terakhir pada 2007.

Menurutnya, kedudukan kawasan taman yang tidak mengikut spesifikasi kelulusan iaitu dibina di bawah paras air yang ditetapkan turut mengundang kejadian banjir kilat itu berlaku.

"Bagaimanapun kita telah pun melakukan pelbagai kaedah untuk menghalang kejadian banjir dengan membina ban dan membesarkan longkang supaya air boleh mengalir.

"Namun dalam kejadian kelmarin (Rabu), ia dianggap mengejutkan kerana hanya dalam masa tiga jam sahaja kawasan berkenaan telah dinaiki air berbanding sebelum ini walaupun hujan berlaku dalam tempoh yang lebih lama.

Banjir kilat yang melanda Taman Mentakab Indah kelmarin.
Banjir kilat yang melanda Taman Mentakab Indah kelmarin.

"Jadi kita telah meminta laporan dari pihak Jabatan Pengairan Saliran (JPS) berhubung permasalahan ini, selain berharap pihak-pihak berwajib lain dapat melakukan kerja-kerja segera termasuk mendapatkan jumlah bajet untuk pembesaran dan meninggikan ban," katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di taman tersebut yang turut dihadiri Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Wan Mohd Saidi Wan Zainudin di sini semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Sharkar turut memaklumkan bahawa permasalahan yang dihadapi penduduk di kawasan itu akan dibawa ke Mesyuarat Kerajaan Negeri selain membantu mangsa yang terlibat.

"Kita akan melihat perkara ini secara keseluruhan selain meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memeriksa kembali berikutan tindakan pihak pemaju sebelum ini telah melandaikan ban yang ada," jelasnya.

Sementara itu,Wan Mohd Saidi berkata, pihaknya telah mencadangkan agar sebuah lagi ban dapat dibina di lokasi strategik yang sudah dikenalpasti bagi mengelakkan insiden sama berulang.

"Kita telah pun menyiapkan kertas kerja berhubung perkara itu dan berharap mendapat perhatian sewajarnya," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!