Sindiket G Credit tumpas

Dzulkhairi (dua,kanan) menunjukkan antara dokumen palsu yang digunakan untuk memperdayakan mangsa yang dirampas.
Dzulkhairi (dua,kanan) menunjukkan antara dokumen palsu yang digunakan untuk memperdayakan mangsa yang dirampas.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Polis berjaya menumpaskan sebuah kumpulan penipuan pinjaman wang tidak wujud yang dikenali sebagai sindiket G Credit.

Sindiket berkenaan yang aktif sejak enam bulan lalu telah memperdayakan seramai 162 mangsa membabitkan nilai kerugian melebihi RM1.3 juta.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, berikutan itu, seramai 11 anggota sindiket itu berjaya ditahan menerusi dua serbuan sekitar Taman Bukit Indah, di sini, Ahad lepas.

Menurutnya, dalam operasi bermula pada jam 10 malam itu, kesemua suspek yang ditahan terdiri daripada tujuh lelaki dan empat wanita termasuk dua remaja berusia antara 17 hingga 28 tahun.

"Serbuan dijalankan menerusi Ops Seagull. Hasil siasatan ke atas sindiket menggunakan Syarikat G Credit (Malaysia) Sdn Bhd ini mendapati ia tidak wujud dan dipercayai untuk memperdayakan mangsa.

"Siasatan juga mendapati mereka telah dipercayai beroperasi sejak enam bulan lalu membabitkan 162 kes seluruh negara," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Dzulkhairi berkata, modus operandi yang digunakan sindiket ini termasuklah menjalankan iklan di media sosial seperti Facebook serta menghubungi mangsa dengan menawarkan pinjaman secara mudah.

"Setelah mangsa bersetuju untuk meminjam wang, suspek akan meminta dokumen peribadi bagi tujuan kononnya untuk memproses pinjaman terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa kemudian diminta membayar RM300 hingga RM500 yang kononnya untuk membayar cukai yang mana suspek akan membuat sendiri sijil setem Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan dihantar kepada mangsa.

"Bagaimanapun, selepas itu suspek menghilangkan diri," katanya.

Beliau berkata, pelbagai peralatan yang digunakan sindiket terbabit termasuklah dua komputer riba, dua mesin pencetak, lima skrip perbualan untuk menipu mangsa, 176 surat kelulusan pinjaman, 14 cek palsu serta 12 sijil setem LHDN dan sebagainya turut dirampas.

"Kesemua suspek ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan penipuan," katanya.

Ujarnya lagi, sepanjang tahun lalu sebanyak 53 laporan diterima berhubung kes pinjaman wang tidak wujud melibatkan kerugian RM700,000 di daerah ini.

"Tahun ini sahaja dari kita menerima sembilan kes sama yang mana ia melibatkan kerugian RM32,000," katanya.

Justeru, beliau menasihatkan agar orang ramai tidak mudah terpedaya dengan janji manis mana-mana individu yang menawarkan pinjaman mudah seperti ini.