Sindiket upah tonto tumpas, KPDN rampas 31,000 liter diesel subsidi

KPDN Perak turut menemui sebuah lori loader lima tan ketika menjalankan serbuan Op Tiris di sebuah premis di Kampung Chuar Hulu, Sauk, Kuala Kangsar, pada Rabu. - Foto KPDN Perak
KPDN Perak turut menemui sebuah lori loader lima tan ketika menjalankan serbuan Op Tiris di sebuah premis di Kampung Chuar Hulu, Sauk, Kuala Kangsar, pada Rabu. - Foto KPDN Perak
A
A
A

KUALA KANGSAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi menerusi Op Tiris di sebuah kilang papan di Kampung Chuar Hulu, Sauk di sini, pada Rabu.

Menurut Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail, pihaknya menyita 31,000 liter diesel bersubsidi dengan nilai rampasan keseluruhan RM101,400, selepas menyerbu premis terbabit.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN pada jam 10.30 pagi.

- Foto KPDN Perak
- Foto KPDN Perak

Katanya, maklumat risikan mendapati, sindiket itu juga dipercayai mengupah 'tonto' bagi memastikan aktiviti mereka beroperasi tanpa disedari oleh pihak berkuasa.

Kamalludin berkata, hasil pemeriksaan ke atas premis tersebut menemukan dua buah 'skid tank' yang di dalamnya terdapat cecair disyaki minyak diesel.

"Turut ditemui dua kenderaan, sebuah lori loader lima tan dan van yang telah diubah suai dengan meletakkan tangki lain selain tangki asal lori tersebut.

"Bagaimanapun pemilik premis tiada di tempat kejadian semasa serbuan.

"Kesemua kenderaan, peralatan penyedut minyak dan cecair yang disyaki minyak diesel dengan anggaran sebanyak 31,000 liter telah disita," katanya kepada pihak media pada Rabu.

- Foto KPDN Perak
- Foto KPDN Perak

Katanya, beliau percaya sindiket tersebut membeli diesel di beberapa stesen minyak sekitar Kuala Kangsar dengan harga subsidi secara berulang, kemudian mengumpul dan menyimpannya di dalam tangki sebelum dijual kepada pihak industri.

"KPDN juga akan melakukan siasatan lanjut ke atas stesen minyak yang berkaitan dan akan mengambil tindakan jika didapati terlibat dalam penyelewengan ini," tambahnya.

Menurut Kamalludin, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Beliau turut menyarankan masyarakat agar menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai sebarang maklumat khususnya mengenai aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi.

- Foto KPDN Perak
- Foto KPDN Perak

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkenaan aktiviti itu ke mana-mana cawangan KPDN berdekatan bagi membanteras aktiviti penyelewengan dan mengelakkan berlaku ketirisan subsidi kerajaan melalui saluran berikut:

i. WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000

ii. Portal Aduan: e-aduan.kpdn.gov.my

iii. Call Centre 1-800-886-800 iv. Emel e-aduan@kpdn.gov.my

- Awani