MEF terima aduan polis arah pekerja pulang ke rumah

 Shamsuddin Bardan
Shamsuddin Bardan
A
A
A

SHAH ALAM – Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menerima beberapa aduan berhubung pekerja sektor swasta yang bukan daripada bahagian pengurusan dan penyeliaan yang perlu bekerja diarah pulang oleh pihak polis dan tentera.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, perkara itu merupakan sebahagian daripada masalah yang timbul pada hari pertama pelaksanaan arahan tersebut melibatkan pekerja di sekitar Lembah Klang.

“Pekerja itu sudah tunjukkan surat majikan tentang mereka diperlukan bekerja di pejabat seperti biasa kerana bukan berada di bahagian pengurusan dan penyeliaan, tetapi jawapan itu tidak diterima polis.

“Pekerja berkenaan dikatakan perlu dapatkan juga permit daripada polis untuk pergi bekerja sedangkan apa yang orang ramai fahami ketika ini, permit tersebut hanya perlu ketika mahu lakukan perjalanan rentas daerah,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pekerja sektor awam dan swasta bahagian pengurusan serta penyeliaan di zon merah di kawasan penguatkuasaan PKPB diwajibkan bekerja di rumah berkuat kuasa hari ini.

Arahan terbaharu itu meliputi satu juta kakitangan di kedua-dua sektor di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah untuk mengekang penularan dan kewujudan kluster baharu koronavirus (Covid-19) di tempat kerja.

Bagaimanapun, perincian tentang pelaksanaan arahan itu tidak dinyatakan sebaliknya memaklumkan maklumat lanjut akan dikeluarkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bagi sektor awam dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk sektor swasta.

Menerusi arahan terbaharu itu, kerajaan turut mewajibkan pekerja di zon merah membuat ujian calitan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Shamsuddin berkata, kekeliruan itu timbul disebabkan arahan yang dikeluarkan kerajaan tidak disertakan dengan prosedur yang jelas yang akhirnya menyusahkan ramai pekerja tidak terlibat dengan arahan wajib berkenaan.

“Apa yang membuat pekerja keliru juga sebab banyak kenyataan dikeluarkan sebelum ini dan kenyataannya berubah-ubah. Ada sesetengah mengatakan arahan tertentu terpakai kepada syarikat di bawah MITI sahaja. Tapi arahan jelasnya tidak ada.

“Ia termasuklah dari segi arahan untuk membenarkan 10 peratus sahaja pekerja bekerja. Bagi syarikat kecil di negara ini yang berjumlah lebih 650,000 buah syarikat, arahan ini tidak munasabah kerana mereka cuma ada kurang daripada lima orang pekerja sahaja,” katanya.

Bagaimanapun, menyentuh tentang arahan mewajibkan ujian calitan, menurutnya, MEF membantah arahan itu dan mengambil jalan tengah dengan menganggap ujian itu tidak wajib.

“Beberapa kenyataan yang tidak jelas daripada pihak kerajaan sebelum ini mendorong pihak kami mengambil pendirian ini.

“Bagi kami ujian ini tidak harus diwajibkan kerana ia melibatkan kos dan hanya akan menimbulkan kekalutan kerana cuba bayangkan kalau semua pekerja terlibat ini berebut-rebut untuk buat ujian pada masa sama,” katanya.