Kapal dagang karam langgar batu

 Sanifah (kiri) menunjukkan lokasi kapal tersebut karam.
Sanifah (kiri) menunjukkan lokasi kapal tersebut karam.
A
A
A

KOTA TINGGI - Sebuah kapal dagang jenis Motor Tanker (MT) Sea Frontier berdaftar di St Kitts And Nevis karam selepas dipercayai melanggar batu ketika terkandas di perairan Kota Tinggi kira-kira 2 Batu Nautika Timur Tanjung Penyusop, malam tadi.

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Negeri Johor, Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Johor Bahru menerima panggilan melalui ejen kapal kira-kira jam 9.15 malam.

Menurutnya, bertindak atas maklumat tersebut, MRSC Johor Bahru telah mengaktifkan operasi menyelamat dan menghantar bantuan ke lokasi kejadian.

"Kapal membawa muatan minyak itu dalam pelayaran namun mengalami kerosakan dan berhenti di Tanjung Penyusup untuk buat pembaikan.

"Semasa kejadian berlaku kapal tersebut membawa 12 orang kru dan sedang melakukan ujian jentera. Namun ketika dalam proses bersauh kapal telah terkandas dan dipercayai melanggar batu di perairan itu.

"Ekoran itu kapal telah mengalami kebocoran dan dimasuki air dan tenggelam kira-kira 75 peratus. Namun begitu, kesemua anak kapal warganegara Myanmar, Indonesia berjaya diselamatkan oleh kapal lain MT Formula One yang berada di lokasi kapal Sea Frontier karam," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pangkalan Maritim Pengerang, Jeti Penumpang Tanjung Pengelih, hari ini.

Kapal dagang jenis Motor Tanker (MT) Sea Frontier karam selepas melanggar batu.
Kapal dagang jenis Motor Tanker (MT) Sea Frontier karam selepas melanggar batu.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, vesel Maritim Malaysia daripada Tanjung Sedili telah digerakkan bagi membawa mangsa ke darat untuk tindakan lanjut.

Jelasnya, kesemua mangsa tidak mengalami kecederaan dan berada di bawah perhatian pihak agen untuk tindakan lanjut.

Katanya, berdasarkan senarai kru kapal, hanya 11 orang kru sahaja berusia 23 hingga 55 tahun manakala sorang lagi adalah penumpang teknikal merupakan warga tempatan yang memantau ujian jentera kapal tersebut.

“Kita bekerjasama bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Taman Laut Malaysia di mana JAS akan membuat pemantauan sekiranya berlaku tumpahan minyak namun setakat ini tiada tumpahan berlaku.

“Manakala untuk punca kejadian siasatan akan dilakukan pihak Jabatan Taman Laut Malaysia," katanya lagi.