X

Kindly register in order to view this article
!

Tiada keterangan kukuh Khairuddin langgar kuarantin: Peguam Negara

Mohd Khairuddin
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Pegawai yang diberi kuasa telah menggunakan budi bicara untuk tidak mengeluarkan perintah pemerhatian atau pengawasan di rumah terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sejurus tiba daripada Turki pada Julai lalu.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 Julai lalu, Mohd Khairuddin telah menjalani pemeriksaan kesihatan untuk saringan Covid-19 dan keputusannya adalah negatif.

"Menteri telah dibenarkan pulang ke kediamannya oleh pegawai daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selaku pegawai diberi kuasa yang dilantik di bawah Seksyen 3 Akta 342," katanya.

Menurutnya, Borang 14b seperti yang diperuntukkan dalam Garis Panduan KKM yang memerintahkan pemerhatian atau pengawasan selaras dengan Subseksyen 15 (1) Akta 342 tidak pernah diserahkan kepada Ahli Parlimen Kuala Nerus itu sebelum beliau pulang pulang ke rumah.

"Bagi tindakan yang memerlukan perintah kuarantin di rumah sebagai satu kesalahan di bawah Akta 342, perintah itu mestilah diserahkan kepada Khairuddin sebagaimana peruntukan di bawah Subseksyen 15 (1) Akta 342," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes menteri langgar kuarantin Covid-19 tiada tindakan lanjut

Idrus berkata, tiada keterangan yang kukuh bagi memenuhi beban bukti untuk memulakan pendakwaan terhadap Mohd Khairuddin di mahkamah.

"Berdasarkan perkara tersebut, Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk tidak mengemukakan sebarang pertuduhan terhadap beliau," katanya.

Isu Mohd Khairuddin yang didakwa melanggar kuarantin didedahkan oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok di Dewan Rakyat pada 18 Ogos lalu.

Bagaimanapun, atas rasa tanggungjawab kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) kuarantin itu, Mohd Khairuddin membuat keputusan memulangkan semua gajinya sebagai menteri bermula Mei hingga Ogos lalu.

Beliau turut memohon maaf terhadap kekhilafan tersebut.

Mohd Khairuddin kemudian dikompaun sebanyak RM1,000 oleh KKM selepas didapati bersalah mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.7) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!