X

Kindly register in order to view this article
!

Saran guna air laut selesaikan masalah bekalan air

Gambar hiasan air laut, Gambar kecil: Ahmad Ibrahim
A
A

SHAH ALAM - Teknologi memproses air laut boleh menyelesaikan masalah gangguan bekalan air yang kerap berlaku di kawasan Lembah Klang.

Felo Akademi Sains, Profesor Datuk Dr Ahmad Ibrahim, teknologi membran kini semakin popular digunakan dalam rawatan air yang bermasalah.

"Seperti yang kita semua sedar, air laut adalah salah satu contoh air yang paling bermasalah di dunia untuk dimanfaatkan kerana kandungan garamnya yang tinggi.

"Walhal, air laut merupakan sumber air yang paling banyak. Alangkah eloknya kalau air laut dapat dirawat untuk digunakan sebagai air bersih.

"Akibat usaha pembangunan dan pembangunan (R&D) dalam pembuatan pelbagai jenis membran, kilang penyahgaraman di dunia kini banyak menggunakan membran untuk menghapuskan unsur-unsur yang perlu dinyahkan terutamanya garam," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Ahmad yang merupakan profesor dalam pengurusan alam sekitar di Jabatan Kimia dan Petroleum, Fakulti Kejuruteraan, Teknologi dan Pembinaan Alam, Universiti UCSI berkata, hasil daripada kemajuan yang dibuat dalam reka bentuk dan operasi sistem membran, kos juga telah turun dengan banyak.

"Negara-negara yang menggunakan teknologi membran untuk menyahgaram air laut tidak lagi mengadu insiden gangguan bekalan air. Tidak ada sebab mengapa teknologi membran yang sama tidak dapat dimanfaatkan dalam perawatan air bersih kita.

"Ramai mencadangkan supaya pihak berkuasa air perlu mengamalkan pengurusan risiko yang lebih proaktif," ujar beliau.

Tambah beliau, jika teknologi rawatan air yang digunakan berkemampuan mengenyahkan semua bahan pencemar yang menimbulkan masalah itu, isu gangguan bekalan air yang kerap berlaku ketika ini akan menjadi sejarah.

"Sudah sampai masanya loji rawatan air kita mengubahsuai sistem rawatan menggunakan teknologi yang lebih berkesan, seperti menggunakan teknologi membran," jelasnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!