Inkues Nora Anne: Empat unit terlibat SAR

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Ahmad Mukhlis Mokthar (dua, kiri) dan pegawai bomba Hizwan Khalil (kanan) hadir sebagai saksi untuk memberi keterangan pada prosiding inkues bagi menentukan kematian remaja perempuan warga Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin, yang dilaporkan hilang sehari selepas tiba di Malaysia bersama keluarga, di Mahkamah Koroner hari ini. - Foto Bernama
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Ahmad Mukhlis Mokthar (dua, kiri) dan pegawai bomba Hizwan Khalil (kanan) hadir sebagai saksi untuk memberi keterangan pada prosiding inkues bagi menentukan kematian remaja perempuan warga Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin, yang dilaporkan hilang sehari selepas tiba di Malaysia bersama keluarga, di Mahkamah Koroner hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Mahkamah Koroner di sini diberitahu bahawa empat unit dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membabitkan 70 anggota terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nora Anne Quoirin, Ogos tahun lepas.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Mokthar berkata, empat unit itu ialah Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM), Pasukan Multiskill Team (MUST), Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) dan Unit Anjing Pengesan (K9).

“Pada 6 Ogos 2019, kita telah mohon pasukan PPDA dari Teluk Kemang untuk membuat selaman ketika operasi SAR... kemudian unit STORM dan MUST bagi membantu mencari dan menyelamat.

“Unit K9 pula bermula pada 5 hingga 8 Ogos. Namun pada 9 Ogos kita dimohon untuk kepakaran anjing mencari mayat pula," kata saksi ke-24 itu pada prosiding di hadapan Koroner Maimoonah Aid yang memasuki hari ke-11 hari ini.

Pada prosiding inkues bagi menentukan punca kematian remaja perempuan warga Ireland-Perancis itu, mahkamah dimaklumkan lokasi mayat Nora Anne ditemukan sememangnya merupakan kawasan pencarian sejak hari kedua SAR diaktifkan pada 4 Ogos tahun lepas.

"Daripada hari kedua SAR iaitu pada 5 Ogos hingga hari ketujuh, tiada apa-apa petanda positif," katanya sambil menambah, peranannya ketika itu adalah sebagai penyelaras aset JBPM bagi operasi SAR berkenaan.

Turut dipanggil memberi keterangan hari ini ialah Pegawai Bomba Hizwan Khalil, 31, dari Balai Bomba Teluk Kemang, Port Dickson.

Beliau yang juga ahli unit PPDA dan MUST berkata kawasan pencarian yang disertainya sepanjang 10 hari operasi SAR turut meliputi lokasi di mana mayat remaja berkenaan ditemukan, namun hasil pencarian tidak menemukan sebarang petunjuk positif.

Artikel Berkaitan:

Prosiding inkues bersambung esok.

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos tahun lepas, sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan Pantai di sini, kira-kira 60 kilometer di selatan ibu negara.

Pada 13 Ogos, mayat Nora Anne ditemukan berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5 kilometer dari resort penginapannya susulan pencarian besar-besaran yang dilakukan pihak berwajib.

Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian remaja berkenaan yang juga golongan istimewa tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan berpanjangan. - Bernama