Malaysia mahu terus bekerjasama dengan AS dalam isu iklim

Anwar ketika menerima panggilan telefon daripada John Kerry pada Jumaat. -Foto Facebook Anwar Ibrahim
Anwar ketika menerima panggilan telefon daripada John Kerry pada Jumaat. -Foto Facebook Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia berharap akan dapat terus bekerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) dalam isu melibatkan peralihan tenaga boleh diperbaharui, pengurangan pelepasan gas metana, pembiayaan iklim dan teknologi.

Perkara itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menerima panggilan telefon daripada Perutusan Khas Presiden Amerika Syarikat mengenai Iklim, John Kerry pada Jumaat.

Menerusi catatan di Facebook rasmi pada Sabtu, Anwar memaklumkan dalam perbualan berkenaan pelbagai isu berkaitan alam sekitar, tenaga boleh diperbaharui dan perubahan iklim yang kian meruncing dan memberi kesan yang dahsyat di seluruh dunia turut dibincangkan.

"Saya berkongsi aspirasi Malaysia untuk mencapai pelepasan GHG (gas rumah hijau) bersih sifar seawal tahun 2050.

"Saya juga telah menekankan bahawa Amerika Syarikat sebagai salah satu negara maju wajar menjadi peneraju dalam mengekang perubahan iklim dan kesan-kesannya ke atas alam sekitar dan kesihatan manusia.

"Ia boleh dilakukan dengan menyediakan bantuan kewangan, kapasiti dan sokongan teknologi yang mencukupi untuk membantu negara membangun melaksanakan agenda dan tindakan iklim masing-masing,” katanya. - Bernama