Nelayan mengaku tidak bersalah guna dokumen palsu

Tertuduh (tengah) diiring polis ketika tiba di Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini.
Tertuduh (tengah) diiring polis ketika tiba di Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini.
A
A
A

KUALA PILAH - Seorang nelayan dihadap ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini atas empat pertuduhan mengemukakan dokumen palsu.

Tertuduh, Muhammad Abu Zar'ah Azutdin bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah menggunakan satu dokumen palsu sebagai tulen iaitu Borang E, Peraturan 7(1), Akta Harta Pusaka Kecil(Pembahagian) 1995 Daerah Melaka Tengah, Melaka bertarikh 21 Oktober 2019.

Tertuduh juga telah menggunakan satu dokumen sijil kematian sebagai tulen milik penama Nik Jaafar Daud.

Perbuatan itu dilakukan di Bahagian Pendaftaran dan Perlesenan Kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Jempol, Bandar Seri Jempol pada 13 Ogos 2020, jam lebih kurang 2.24 petang.

Tertuduh turut berdepan dua lagi kesalahan sama yang dilakukan di Bahagian Pendaftaran dan Perlesenan Kenderaan JPJ Cawangan Kuala Pilah pada 11 September 2020, jam lebih kurang 2.30 petang.

Bagi kesalahan menggunakan dokumen sijil kematian sebagai tulen, tertuduh menggunakan penama Hassan Ibrahim.

Berikutan itu tertuduh didapati telah kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 467 Kanun Keseksaan yang sama, sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Artikel Berkaitan:

Peguam S S Amritpal Singh memohon mahkamah memberikan jaminan rendah atas alasan anak guamnya bekerja sebagai nelayan dan mempunyai ramai tanggungan iaitu isteri dan seorang anak berusia 10 tahun, ibu bapa yang sudah tua serta seorang adik yang menghidap sindrom down.

Mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 dengan cagaran bagi kesemua pertuduhan dan 3 November ini sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Muhaimin Mohd Azman.