X

Kindly register in order to view this article
!

4,560 kesalahan direkodkan sejak PKP bermula: KPDNHEP

Gambar hiasan.
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merekodkan 4,560 kesalahan di bawah pelbagai akta dengan nilai rampasan berjumlah RM60,691,736 sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu hingga semalam.

Menurut kenyataan Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP hari ini, sebanyak 440,549 premis perniagaan diperiksa pada tempoh tersebut merangkumi kedai runcit, pasar raya, kedai makan, kedai kek dan roti, kedai pakaian, bengkel kenderaan serta lain-lain premis.

"Sebanyak 3,377 kesalahan telah dikompaun sepanjang tempoh PKP ini dengan kutipan kompaun berjumlah RM1,495,752," menurut kenyataan itu.

Kesalahan tertinggi adalah di bawah Akta Timbang dan Sukat dengan 2,431 kes, diikuti dengan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 sebanyak 1,289 kes serta Akta Kawalan Bekalan 1961 sebanyak 367 kes.

Menurut kenyataan itu, sejak PKP bermula sehingga kini, 12 barang keperluan harian pengguna iaitu gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayur-sayuran, telur, bawang, cecair pembasmi kuman dan pelitup muka dipantau secara harian di seluruh negara.

Orang ramai disaran membuat aduan jika terdapat isu berhubung harga dan bekalan kepada Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) melalui talian hotline 1-800-886-800 atau 03-8882 6088 atau hadir sendiri ke mana-mana pejabat KPDNHEP yang berhampiran. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!