Telefon bimbit, aksesori tiruan dirampas

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah merampas 192 unit telefon bimbit pelbagai model dan aksesorinya yang dipercayai tiruan, bernilai RM25,959 dalam serbuan di tiga premis di daerah ini hari ini.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Sabah, Ravichandran Vadivellu berkata bertindak atas aduan, 15 pegawai penguat kuasa menyerbu premis pertama pada 11 pagi tadi.

"Dalam serbuan itu kita menyita 81 unit telefon pelbagai model jenama Vivo, pengecas telefon (9 unit), ‘power bank’ (12 unit) yang dipercayai tiruan. Nilai rampasan dianggarkan RM14,152.

“Di premis kedua, kami merampas 15 unit telefon pelbagai model jenama Vivo, ‘power bank’ (46 unit), pengecas telefon (1 unit) dan tablet (9 unit), nilai rampasan dianggarkan RM7,506, manakala sembilan lagi unit telefon jenama sama serta 10 unit tablet bernilai RM4,301 dirampas di premis ketiga,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata ketiga-tiga premis tersebut dipercayai menjual telefon bimbit tiruan yang diperihalkan sebagai dikilangkan di Malaysia.

Produk sebenar hanya dikilangkan di China dan mereka menjual telefon tiruan ini pada harga lebih rendah berbanding produk tulen selain terdapat model yang tidak pernah dikeluarkan oleh Vivo, katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat menurut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika sabit kesalahan, individu boleh didenda RM10,000 bagi setiap barang atau penjara tiga tahun manakala syarikat boleh didenda RM15,000 bagi setiap barang.- Bernama

Artikel Berkaitan: