Tiga ditahan kes curi telefon, acu pistol tiruan

Noor Dellhan (tengah) menunjukkan pistol tiruan yang digunakan suspek bagi menakutkan mangsa dalam satu kejadian kes rompakan di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 31 Mei lalu. Foto Sinar /Asril Aswandi Shukor.
Noor Dellhan (tengah) menunjukkan pistol tiruan yang digunakan suspek bagi menakutkan mangsa dalam satu kejadian kes rompakan di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 31 Mei lalu. Foto Sinar /Asril Aswandi Shukor.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan agresif seorang suspek mengacukan pistol tiruan ke arah badan mangsa sebelum bertindak mencuri dua unit telefon bimbit mengundang padah apabila ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, insiden itu berlaku apabila suspek yang pada mulanya berlakon kononnya mahu membeli dua unit telefon bimbit daripada mangsa.

Beliau berkata, setelah bersetuju bertemu di satu kawasan di Kampung Baru, Kuala Lumpur jam 11.26 malam pada 31 Mei lalu, mangsa datang bersama dua rakannya bagi menjual telefon yang diaturkan penjualannya sebelum itu secara dalam talian.

"Ketika sampai di tempat kejadian di satu kawasan lapang, suspek telah mengambil dua unit telefon bimbit daripada mangsa dan memasukkannya ke dalam sebuah beg.

"Apabila mangsa mahu meminta wang pembayaran, suspek telah bertindak mengeluarkan satu objek menyerupai sepucuk pistol dan mengacukan ke arah badan mangsa.

"Ekoran tindakan itu, mangsa telah berundur sedikit ke belakang dan suspek melarikan diri ke arah seorang lagi suspek yang menantinya dengan sebuah motosikal berada 20 meter dari lokasi kejadian," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Noor Dellhan berkata, menerima laporan daripada mangsa pada 4.48 pagi, sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Dang Wangi melancarkan gerakan memburu suspek dan berjaya menahan suspek kurang dari 24 jam selepas menerima laporan.

Kata beliau, dua suspek berjaya ditahan pada 31 Mei jam 5.45 petang di Hulu Langat, Selangor, sebelum polis kemudiannya menahan suspek utama yang mengacukan pistol dan mencuri telefon bimbit di Skudai, Johor pada 1 Jun jam 1 pagi.

Jelas beliau, suspek utama telah bertindak melarikan diri ke rumah ibu saudaranya di Skudai dengan tujuan bersembunyi.

Katanya, seorang suspek untuk insiden kecurian tersebut tidak berada di lokasi kejadian, namun telefon miliknya telah digunakan bagi menghubungi mangsa untuk urusan jual beli.

Kata beliau, jumlah kerugian bagi insiden kecurian tersebut dianggarkan RM6,000 melibatkan telefon bimbit jenis Samsung S22 dan iPhone Pro Max.

Menurutnya, kesemua suspek yang berusia 24 hingga 26 tahun telah direman selama lima hari sehingga 5 Jun ini.

Tambahnya, siasatan awal mendapati dua suspek mempunyai rekod lampau dalam jenayah dadah.

Beliau berkata, siasatan mendapati seorang suspek tidak bekerja, manakala dua lagi masing-masing bekerja sebagai penghantar makanan dan restoran makanan segera.

"Proses kawad cam ke atas ketiga-tiga suspek akan dilakukan hari ini," katanya.