Mahkamah Persekutuan batal permohonan rujuk isu perlembagaan Sosma

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan hari ini sebulat suara membatalkan permohonan 16 individu yang didakwa di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) untuk merujuk isu perlembagaan bagi akta berkenaan kerana ia bersifat akademik.

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum yang mempengerusikan panel sembilan hakim membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan memandangkan rujukan akta berkenaan tidak sesuai digunakan di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah-Mahkamah Kehakiman (CoJA) 1964.

Oleh yang demikian mahkamah membatalkan rujukan pihak pembelaan berhubung Sosma di bawah Seksyen 84 CoJA. Seksyen itu menetapkan hanya kes-kes yang melibatkan isu-isu perlembagaan boleh dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.

Dalam penghakimannya, Ketua Hakim Negara berkata ketika ini tiada lagi pertuduhan yang dibuat di bawah Sosma di Mahkamah Tinggi.

Turut bersidang pada prosiding hari ini ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Ahmad Maarop, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk David Wong Dak Wah, serta Hakim-Hakim Mahkamah iaitu Tan Sri Ramly Ali, Datuk Seri Balia Yusof Wahi, Datuk Mohd Zawawi Salleh, Tan Sri Idrus Harun dan Datuk Nallini Pathmanathan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nik Suhaimi Nik Sulaiman selaku pemohon dalam bantahannya berhujah bahawa kerajaan ketika ini sedang menyemak semula SOSMA dan dijangka dibahaskan di Parlimen Mac ini.

Selain itu beliau berkata isu berkenaan juga bersifat akademik memandangkan pertuduhan yang dibuat di bawah akta itu telah ditarik balik dan tiada lagi pertuduhan di bawah akta sama.

Sementara itu, Peguam Tan Sri Mohamad Shafee Abdullah dan Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin yang bertindak bagi pihak responden menegaskan bahawa isu sama ada Sosma berkaitan pelembagaan atau tidak perlu dijawab oleh Mahkamah Persekutuan kerana ia sesuatu yang serius dan berkepentingan awam.

Artikel Berkaitan:

Kamarul Hisham dalam hujahnya berkata semua responden dilepas tanpa dibebaskan oleh mahkamah dan boleh didakwa semula di bawah akta yang sama. Selain itu terdapat kenyataan yang menyatakan bahawa moratorium akta ini akan ditarik balik berdasarkan keadaan semasa, jadi Sosma masih wujud.

Sebelum ini, kesemua responden telah dituduh di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaaan kerana menjadi anggota kumpulan jenayah terancang, bagaimanapun pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan itu dan dikemukakan pertuduhan baharu iaitu Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

Pertuduhan pindaan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.- Bernama