KEY kutip hasil bidaan cecah RM2.2 juta

Ismasuhaimi (dua dari kanan) menunjukkan nombor pendaftaran KEY yang merekodkan jumlah bidaan tertinggi melalui sistem (JPJeBid) di Pejabat JPJ Kedah di sini hari ini.
Ismasuhaimi (dua dari kanan) menunjukkan nombor pendaftaran KEY yang merekodkan jumlah bidaan tertinggi melalui sistem (JPJeBid) di Pejabat JPJ Kedah di sini hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Bidaan nombor pendaftaran KEY yang dibuka oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah berjaya memecahkan rekod apabila mengutip hasil bidaan sebanyak RM2.209 juta.

Pengarah JPJ negeri Kedah, Ismasuhaimi Shariff berkata, kutipan tersebut merupakan tertinggi pernah direkodkan dalam enam siri bidaan yang dibuka JPJ Kedah sebelum ini melalui Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid).

Menurutnya, nombor pendaftaran berkenaan mendapat sambutan kemungkinan disebabkan ia sinonim dengan nama panggilan seseorang.

"JPJ Kedah membuka nombor pendaftaran ini bermula jam 12 tengah malam 9 Oktober hingga jam 11.59 malam Selasa lalu (13 Oktober ), seramai 2,765 membida nombor berkenaan.

"Bagaimanapun, bagi bidaan nombor pendaftaran KEY 1, ia tidak dibuka kepada orang ramai berikutan dikhaskan untuk Pejabat Sultan Kedah," katanya pada sidang akhbar di Pejabat JPJ Kedah di sini hari ini.

Menurutnya, dalam siri berkenaan, KEY 5 merekodkan jumlah bidaan tertinggi iaitu sebanyak RM88,000.

"Dalam masa terdekat ini kita akan membuka nombor pendaftaran KEY ini di kaunter.

"Jadi orang ramai yang mahu mendapatkan nombor menarik, boleh terus ke portal JPJebid berikutan ia menawarkan ketelusan dan tiada unsur-unsur campur tangan manusia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sebelum ini JPJ Kedah sudah membuat bidaan bagi nombor pendaftaran KEX yang berjaya membuat kutipan hasil sebanyak RM1.3 juta dengan bidaan tertinggi KEX 1 sebanyak RM125,000.

"Selain itu, nombor pendaftaran KEW pula mencatatkan jumlah bidaan sebanyak RM980,862 dengan bidaan tertinggi KEW 1 sebanyak RM120,000," katanya.

Sementara itu, Ismasuhaimi berkata, pihaknya akan mengadakan tawaran sebut harga 62 kenderaan lucut hak bermula 18 Oktober hingga 25 Oktober ini.

"Sebanyak 55 buah kenderaan boleh dilesenkan manakala tujuh buah kenderaan lagi tidak boleh dilesenkan (SCRAP).

"Orang ramai boleh melihat kenderaan itu pada 20 Oktober dan 21 Oktober depan di Kandang Sita JPJ Alor Setar, Kandang sita Stesen Penguatkuasa Kuala Ketil dan Kandang Sita JPJ Kulim," katanya.