Anwar tekad jadi PM kerana kerajaan PN rapuh

Anuar Shah Bali Mahomed
Anuar Shah Bali Mahomed
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim masih menaruh harapan tinggi untuk menjadi Perdana Menteri kerana kedudukan kerajaan hari ini dilihat sangat rapuh.

Penganalisis politik, Dr Anuar Shah Bali Mahomed berkata, jika dilihat bilangan kerusi Parlimen terdapat 222 kerusi dan 113 daripadanya mewakili kerajaan iaitu dua kerusi mengatasi kerusi minimum untuk membentuk kerajaan.

Beliau berkata, dalam Perikatan Nasional (PN) BN, kerusi paling banyak milik UMNO iaitu 39 dan bagi pembangkang pula, DAP mempunyai kerusi tertinggi sebanyak 42.

"Melihat kepada angka itu menjelaskan bahawa terdapat kemungkinan ia boleh berubah. Sebab itu Anwar cuba lakukan dengan menghadap Yang di-Pertuan Agong semalam kerana ingin menzahirkan perubahan angka tersebut.

"Angka itu ada cuma yang tiada bilangan ahli Parlimen pada ketika ini. Jadi Anwar begitu bersungguh untuk menjadi Perdana Menteri disebabkan ketika ini sangat 'fragile' dari segi angka itu sendiri dan pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Beliau melihat ini masa terbaik untuk ke depan sebab angka terlalu kecil," katanya.

Beliau berkata demikian pada Wacana Sinar ke-201 bertajuk 'Kesan Gerak Politik Anwar Kepada Kerajaan Muhyiddin' yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Karangkraf di sini, semalam.

Turut menjadi panelis, Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz dan Herleena Pahlavy selaku moderator.

Ketika mengulas adakah kesungguhan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri disebabkan perjuangan reformasi atau lebih kepada politik peribadi, Anuar Shah Bali berkata, sejarah perjalanan politik Anwar sangat banyak dan panjang.

Artikel Berkaitan:

"Sudah tentu beliau atau mana-mana pemimpin parti politik mahu menduduki kerusi tertinggi pentadbiran negara.

"Anwar pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri, selangkah saja untuk menjadi Perdana Menteri tetapi tidak berjaya.

"Baru-baru ini beliau seakan-akan hampir menjadi Perdana Menteri kelapan tetapi gagal. Saya fikir Anwar ada perancangan tersendiri untuk dilaksanakan jika beliau menjawat jawatan nombor satu negara itu," katanya.