X

Kindly register in order to view this article
!

Pembekal kecewa Pasar Besar Pasir Puteh diroboh

Anggota polis melakukan kawalan semasa kerja-kerja merobohkan Pasar Pasir Puteh dilakukan.
A
A

PASIR PUTEH - Persatuan Peniaga Kecil Dalam Pasar Pasir Puteh (Pembekal) yang mewakili 200 peniaga di sini meluahkan rasa kecewa dengan tindakan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan merobohkan pasar itu tanpa sebarang notis.

Setiausaha Pembekal, Ghazali Mamat, 65, berkata, tindakan itu menyebabkan peniaga tidak sempat untuk berkemas dan mengeluarkan semua barangan jualan.

"Untuk makluman semua, peguam Pembekal sudah memfailkan injuksi untuk menghalang tindakan itu di Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, bagaimanapun peguam Pembekal masih menunggu pengesahan daripada hakim berkaitan dengan injuksi berkenaan.

Katanya, pihak berwajib sepatutnya bersikap tolak ansur dalam perkara ini dengan mengambil kira kepayahan peniaga.

"Namun kami lihat mereka sudah tidak sabar untuk merobohkan pasar sedangkan kes ini masih dalam perbicaraan (mahkamah) sebenarnya.

Peniaga mula mengemaskan barangan jualan selepas diperintahkan untuk mengosongkan premis tersebut sebelum dirobohkan.
Peniaga mula mengemaskan barangan jualan selepas diperintahkan untuk mengosongkan premis tersebut sebelum dirobohkan.

"Sepatutnya hari ini kami ke Istana Kehakiman di Putrajaya untuk perbicaraan. Bagaimanapun perbicaraan itu terpaksa ditangguhkan ekoran perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya.

Ghazali berkata, Mahkamah Rayuan telah memberikan permakluman perbicaraan kes ini akan kembali disambung selepas tamatnya penularan koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, kerja-kerja merobohkan pasar itu bermula seawal jam 7.30 pagi tadi.

"Kami hanya mendapat info dari luar sahaja berhubung kerja-kerja merobohkan pasar ini dan ia berlaku dengan mengejut.

"Ekoran tindakan itu berkemungkinan besar kami akan hilang punca pendapatan selepas tidak lagi dapat berniaga," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP), Abd Pattah Hasbullah dalam satu kenyataan berkata, PTG telah menguatkuasakan undang-undang di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara kerana menceroboh tanah kerajaan.

Seorang peniaga di Pasar Pasir Puteh menggunakan kereta sorong untuk mengangkut barangan perniagaan selepas kerja-kerja merobohkan premis itu dijalankan hari ini.
Seorang peniaga di Pasar Pasir Puteh menggunakan kereta sorong untuk mengangkut barangan perniagaan selepas kerja-kerja merobohkan premis itu dijalankan hari ini.

"MDPP dimaklumkan bahawa tidak ada perintah injuksi yang menghalang PTG untuk melaksanakan tindakan penguatkuasaan termasuklah kerja-kerja meroboh Pasar Besar Pasir Puteh," katanya.

Pada 15 Mac 2018 lalu, Mahkamah Tinggi Kota Bharu mengarahkan MDPP agar menangguhkan kerja merobohkan Pasar Besar Pasir Puteh.

Terdahulu, pada 12 Mac tahun yang sama lebih 300 peniaga menghalang kakitangan MDPP yang datang bersama jentolak untuk merobohkan pasar itu sehingga mencetuskan kekecohan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!