Terganggu tangisan anak kecil dalam kapal terbang

Ibu bapa perlu pastikan keselesaan anak kecil terutama melibatkan perjalanan mengambil masa lama - Gambar hiasan 123RF
Ibu bapa perlu pastikan keselesaan anak kecil terutama melibatkan perjalanan mengambil masa lama - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

BARU-BARU ini Merak Jalanan menaiki pesawat untuk perjalanan dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur. Perjalanan mengambil masa dua jam setengah.

Seperti biasa setiap kali menaiki kapal terbang, Merak Jalanan lebih suka melelapkan mata sepanjang perjalanan.

Tapi pada hari itu, tidur Merak Jalanan terganggu dek bunyi tangisan tiga anak kecil lingkungan usia dua hingga empat tahun. Tangisan anak kecil itu saling sahut-menyahut dan tidak nampak ada tanda-tanda akan berhenti.

Penumpang lain dalam pesawat itu juga mulai gelisah dan saling menoleh ke arah kanak-kanak itu sambil mulut masing-masing mengomel. Tidak kurang ada yang membuat mimik muka masam.

Merak Jalanan simpati dengan ibu bapa kanak-kanak itu, namun dalam masa sama kasihan melihat penumpang yang terganggu.

Bagi Merak Jalanan, tidak salah membawa anak kecil menaiki kapal terbang, tetapi ibu bapa kenalah pastikan keselesaannya, terutama melibatkan perjalanan mengambil masa lama.

Contohnya, sediakan satu beg galas untuk meletak makanan, minuman dan keperluan anak seperti baju tambahan, kain lampin dan stoking.

Semua yang dilakukan ini bukan sahaja untuk anak kecil tersebut, tetapi para penumpang di dalam pesawat.

Bukan apa, Merak Jalanan dapati ada antara penumpang mengambil ringan persediaan sebelum menaiki pesawat. Bagi mereka, beli tiket penerbangan ini macam naik bas.

Dalam pada itu, menaiki pesawat ini pun salah satu cara melatih diri supaya berdisiplin. Bermula sebaik melangkah ke pintu masuk lapangan terbang sehinggalah keluar dari lapangan terbang seterusnya, semuanya kena ikut peraturan.

Malah, menaiki pesawat melatih seseorang itu menepati masa. Kalau terlewat, jangan haraplah juruterbang akan tunggu atau berpatah balik.

Maka, gigit jarilah kalau tiket sudah dibeli lebur begitu sahaja.