Saingan Piala Malaysia ditunda ke November

Ab Ghani
Ab Ghani
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) membuat keputusan untuk meminda tarikh sepak mula saingan TM Piala Malaysia daripada 25 dan 26 Oktober ke tarikh baharu iaitu pada 6, 7 dan 8 November 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pindaan berkenaan dibuat hasil persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL setelah kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula jam 12.01 tengah malam, 14 Oktober hingga 27 Oktober ini.

“Buat masa ini Piala Malaysia masih berada dalam perancangan untuk diteruskan dan pindaan tarikh ini adalah selari dengan saranan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang telah menetapkan tiada sebarang aktiviti sukan berlangsung pada ketika penularan wabak Covid-19 khususnya di kawasan atau negeri yang menjalani PKPB.

“Bagaimanapun, kita masih mempunyai masa yang cukup untuk meneruskan Piala Malaysia memandangkan format baharu kali ini yang tidak melibatkan saingan di peringkat kumpulan.

“Apa yang pasti, MFL akan sentiasa memantau perkembangan terkini mengenai situasi Covid-19 dengan berhubung dengan KBS dan KKM dari masa ke masa,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Pindaan berkenaan sekali gus menyaksikan undian bagi Piala Malaysia bakal berlangsung pada 1 November disusuli dengan aksi suku akhir pada 12 dan 13 November, separuh akhir (17 November) dan perlawanan akhir pada 22 November.

Difahamkan, perancangan jadual baharu Piala Malaysia itu turut mengambil kira perkara-perkara berkaitan termasuk tarikh-tarikh bagi saingan Liga Juara-Juara (ACL) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang melibatkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) bermula 19 November sehingga 4 Disember 2020.

Sebagai rekod, pasukan yang layak beraksi dalam saingan Piala Malaysia iaitu Selangor, PJ City FC, UiTM FC dan Kuala Lumpur berada dalam kawasan yang telah diisytihar zon merah dan menjalani PKPB di Lembah Klang sementara Sabah dan Kuching FA turut menjalani PKPB serta prosedur operasi standard (SOP) di negeri masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ab Ghani mengesahkan MFL turut meminda tarikh serta venue aksi CIMB Liga Super antara Sabah dan UiTM FC ke Stadium UiTM Shah Alam termasuk aksi Liga Premier melibatkan Kuala Lumpur menentang Kuching FA pada 31 Oktober 2020.

“Sebelum ini tarikh dan venue bagi perlawanan di antara Sabah melawan UiTM FC adalah di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 10 Oktober ini.

“Bagaimanapun ia terpaksa diubah selepas kawasan terbabit telah diisytiharkan sebagai kawasan zon merah hingga menyebabkan PKPB dilaksanakan mulai 12.01 tengah malam pada 13 Oktober sehingga 26 Oktober 2020.

“Apa pun yang pasti, perubahan kalendar ini akan menyaksikan setiap pasukan akan mempunyai tempoh rehat dan perjalanan di antara tiga dan empat hari. Kita berharap agar semua pemain dan pegawai terus mematuhi SOP bagi memastikan keselamatan diri dan kelancaran saingan Liga Malaysia 2020,” katanya.