X

Kindly register in order to view this article
!

PKPB dilaksana di seluruh Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya

Ismail Sabri
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuat kuasa 12.01 tengah malam 14 hingga 27 Oktober 2020.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata demikian dalam sidang media harian sebentar tadi.

Menurutnya, keputusan itu dicapai pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengambil kira peningkatan kes dan penularan Covid-19 seperti di Klang, Daerah Petaling serta Gombak.

" Pergerakan keluar masuk/merentas daerah adalah tidak dibenarkan. Bagaimanapun bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan.

"Hanya 2 orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan.

"Semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz, taman-taman awam dan pusat rekreasi adalah ditutup," katanya.

Ismail Sabri berkata, masjid, surau dan rumah ibadat bukan Islam turut ditutup, di samping semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya, serta majlis perkahwinan dan pertunangan juga tidak dibenarkan.

Selain itu, beliau berkata pusat-pusat hiburan dan kelab malam turut tidak dibenarkan beroperasi.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, semua kegiatan ekonomi, industri dan perkilangan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya masih dibenarkan beroperasi seperti biasa dan senarai prosedur operasi standard (SOP) lanjut dan terperinci akan diumumkan oleh MKN dalam masa terdekat.

Mengenai kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), beliau berkata, Polis Diraja Malaysia menahan 617 individu, dan daripada jumlah itu 44 individu direman manakala dua individu dikenakan jaminan semalam.

Memperincikan perkara itu, Ismail Sabri berkata, antara kesalahan tertinggi dilaporkan adalah penjarakkan fizikal melibatkan 239 individu, tidak memakai pelitup muka (178) dan aktiviti di dalam kelab malam (105 individu).

"Kesalahan lain termasuk gagal menyediakan peralatan atau catatan keluar masuk (89), melanggar syarat kawasan PKPB (20), pendatang asing tanpa izin (16), aktiviti pelacuran (lapan), aktiviti perjudian (tiga), tinggal di Malaysia melebihi tempoh (tiga), premis tanpa lesen (satu), dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas (satu)," katanya.

Beliau menegaskan bahawa peningkatan jumlah tangkapan membuktikan bahawa pihak berkuasa tidak berkompromi dengan mana-mana individu atau premis yang tidak mematuhi SOP yang ditetapkan MKN.

“Pasukan Petugas Operasi Pematuhan akan mempertingkatkan pemeriksaan serta mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak patuh SOP PKPP yang ditetapkan,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!