APMM tambah aset pantau perairan Sabah

Sebahagian PATI yang ditahan APMM Sabah sewaktu memasuki kawasan perairan negeri itu secara haram baru-baru ini.
Sebahagian PATI yang ditahan APMM Sabah sewaktu memasuki kawasan perairan negeri itu secara haram baru-baru ini.
A
A
A

KOTA KINABALU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menambah beberapa aset keselamatan bagi meningkatkan pemantauan di perairan Sabah dalam usaha membanteras kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negeri ini.

Langkah tersebut diambil susulan peningkatan penularan pandemik koronavirus (Covid-19) di negeri ini yang dipercayai dibawa oleh warga asing.

Pengarah APMM Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Mohd Rosli Abdullah berkata, pihaknya akan terus meningkatkan kawalan sempadan terutama perairan timur Sabah daripada dibolosi PATI dari Indonesia dan Filipina.

Mohd Rosli berkata, APMM Sabah setakat ini merekodkan seramai 120 warga Filipina disyaki dibawa masuk oleh dua bot nelayan tempatan di perairan Sandakan dan bot berkenaan diberi amaran serta diusir keluar dari perairan Sabah.

"APMM Sabah telah mengatur gerak aset di seluruh zon kawalan bagi membanteras penularan Covid-19 yang dibawa warga asing seperti yang kita sedia maklum kelihatan peningkatan kes positif Covid-19 di kawasan pantai timur Sabah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pasukan APMM Sabah melakukan pemantauan di perairan Sabah.
Pasukan APMM Sabah melakukan pemantauan di perairan Sabah.

Sehubungan itu, Mohd Rosli berkata, beberapa aset telah ditambah bagi meningkatkan pemantauan di perairan Sabah.

"Penambahan aset itu bagi meningkatkan pemantauan di sekitar perairan Tawau, Semporna, Lahad Datu, Sandakan dan Kudat dalam beberapa operasi bersama agensi keselamatan iaitu menerusi Operasi Benteng dan Operasi Cegah Pati.

Artikel Berkaitan:

"APMM Sabah akan terus meningkatkan pemantauan di semua kawasan tanggungjawab bagi memastikan perairan Sabah tidak dibolosi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab membawa masuk PATI melalui jalan laut," katanya.

Terdahulu, Mohd Rosli turut memaklumkan APMM Sabah telah merekodkan seramai 157 orang PATI yang ditahan sejak Januari hingga Ogos lalu dengan membabitkan 64 warga Indonesia dan 93 warga Filipina.