'Cadangan tempat khas merokok, itu sekatan keterlaluan'

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye
A
A
A

TAIPING - Cadangan kerajaan mewujudkan kawasan khas merokok sebagaimana dilaksanakan beberapa negara maju sebenarnya lebih menafikan hak perokok untuk merokok di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, lokasi diwartakan kawasan larangan merokok di negara ini sebenarnya tidak sampai satu peratus daripada kawasan perokok dibenarkan merokok.

Menurutnya, ketika ini, perokok masih boleh merokok di mana-mana lokasi berjarak 10 kaki dari kawasan larangan merokok di negara ini dan inisiatif itu sebenarnya lebih memberi kemudahan kepada mereka berbanding penguatkuasaan kawasan khas perokok.

"Kita memahami keresahan dan rasa tidak puas hati perokok apabila larangan merokok di tempat awam diperluaskan hingga ke restoran dan kedai makan, 1 Januari lalu.

"Ada yang bagi cadangan supaya kerajaan mengadakan kawasan khas merokok di kawasan larangan merokok di tempat awam untuk mereka merokok sebagaimana dilaksanakan di Singapura dan Jepun.

"Cuma bila kerajaan mengadakan kawasan khas merokok, bukankah ini satu sekatan keterlaluan kepada perokok kerana ketika ini kita hanya meletakkan syarat tidak boleh merokok pada jarak 10 kaki dari kawasan larangan merokok?" katanya kepada media pada majlis forum awam penyakit anjing gila atau rabies di Wisma Persekutuan Taiping, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming, Ketua Bahagian Penguatkuasa Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Musnarizal Abdul Manaf dan Pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar Daerah LMS, Dr Yusniza Mohd Yusof.

Dr Boon Chye berkata, kerajaan juga tidak pernah menganggap perokok seperti penjenayah dan tidak menafikan hak mereka untuk merokok di kawasan persendirian, tanah lapang serta di luar kawasan larangan merokok.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mungkin boleh mewujudkan inisiatif tambahan seperti menyediakan tempat membuang puntung rokok di kawasan jarak tiga meter dari kawasan larangan merokok bagi kemudahan perokok.

"Inisiatif itu juga penting kerana membuang puntung rokok merata-rata bukan sahaja mencemar kebersihan tetapi juga risiko kebakaran.

"Kita faham ada orang bantah, kenapa tidak sediakan tempat buang puntung rokok, (tapi) bila kita buat sampah, jadi tanggungjawab perokok untuk melupuskan puntung rokok.

"Jika restoran boleh sediakan tempat untuk buang puntung rokok, itu adalah nilai tambah kepada restoran itu," katanya.

Dr Boon Chye turut menegaskan kerajaan membelanjakan lebih banyak peruntukan kepada usaha merawat penyakit berkaitan aktiviti merokok berbanding menerima pulangan hasil cukai jualan rokok.

"Ada juga bertanyakan saya mengapa tidak mengharamkan sahaja aktiviti merokok di negara ini?

"Jawapan saya sedangkan negara komunis yang mempunyai pentadbiran paling radikal pun tidak mampu mengharamkan perbuatan merokok di negara mereka, apatah lagi negara kita?

"Cuma kita berharap langkah memperluaskan kawasan larangan merokok di tempat awam ini dapat membantu perokok sekurang-kurangnya untuk mengurangkan tabiat membazir atau kalau boleh berhenti merokok serta-merta," katanya.