X

Kindly register in order to view this article
!

Menteri Kewangan nafi ada hubungan keluarga dengan Muhyiddin

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
A
A

SHAH ALAM - Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz nafi mempunyai konflik kepentingan kerana mempunyai hubungan keluarga dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, hubungan jauh berkenaan tidak melanggar garis panduan tadbir urus korporat, selepas terdapat dakwaan berlaku nepotisme berikutan pelantikannya dalam Kabinet Muhyiddin awal tahun ini.

“Boleh tolong jelaskan bagaimana saya mempunyai hubungan persaudaraan dengan Perdana Menteri melalui perkahwinan?" soal beliau ketika diwawancara dengan stesen radio perniagaan BFM seperti dilaporkan portal berita Malaysiakini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta menjawab dakwaan seorang penganalisis yang enggan dikenali mengenai hubungan Tengku Zafrul dengan keluarga Muhyiddin kerana adiknya, Tengku Zuhri berkahwin dengan Fara Nadia Abd Rahim, yang mana kakaknya Fara Ikma Abd Rahim berkahwin dengan anak sulung Muhyiddin, Fakhri Yassin.

Disebabkan hubungan keluarga itu membolehkan Muhyiddin memberi pengaruh besar terhadap Tengku Zafrul.

Mengulas mengenai perkara itu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif CIMB itu berkata, definisi kod tadbir urus Korporat Malaysia oleh Suruhanjaya Sekuriti mengenai terma 'pihak-pihak berkaitan' tidak meliputi hubungan tersebut.

"Bagaimana hubungan saudara melalui tiga perkahwinan merupakan transaksi pihak berkaitan (yang ditakrifkan dalam peraturan Bursa)? Tidak ada kaitan," katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul turut menafikan dakwaan memiliki cita-cita politik peribadi, termasuk tuduhan bahawa beliau menubuhkan tiga cawangan UMNO semasa menjadi pegawai bank.

"Saya tidak terlibat dalam menubuhkan cawangan UMNO, saya bukan ahli parti politik mana pun dan saya tidak berminat untuk menyertai parti politik buat masa ini.

"Fokus mengapa saya berada di sini adalah untuk membantu merangsang ekonomi ke arah pemulihan," tegasnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!