PKPB Klang hanya libat mukim Klang: Ismail Sabri

ISMAIL SABRI
ISMAIL SABRI
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Klang, Selangor yang berkuatkuasa mulai tengah malam ini (9 Oktober) hanya melibatkan kawasan di mukim Klang sahaja, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, selain itu, kerajaan Persekutuan masih berbincang dengan kerajaan Selangor mengenai kawasan dan lokaliti yang terlibat dan akan diumumkan setelah ditentukan kelak.

Ismail Sabri berkata, mesyuarat juga bersetuju membenarkan Pelabuhan Klang beroperasi seperti biasa, manakala aktiviti ekonomi juga dibenarkan beroperasi mengikut masa yang ditetapkan.

“Pasar Borong, beroperasi bermula 4 pagi sehingga 2 petang; Pasar Biasa bermula 6 pagi hingga 2 petang; Pasar Tani, 6 pagi hingga 12 tengah hari; manakala operasi pasar malam adalah tidak dibenarkan.

“Kedai-kedai makan, gerai dan warung juga boleh dibuka tetapi terhad dari jam 6 pagi sehingga 10 malam dan hanya untuk pembelian secara pandu lalu, penghantaran serta bawa pulang sahaja,” katanya dalam sidang akhbar secara maya dari kediamannya menerusi Facebook Kementerian Pertahanan hari ini.

Ismail Sabri berkata, senarai lebih terperinci kegiatan ekonomi yang dibenarkan dan dilarang, akan diumumkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam masa terdekat.

"Bagi pengangkutan awam seperti bas, teksi termasuk e-hailing pula, hanya dibenarkan beroperasi bermula 6 pagi sehingga 12 malam," katanya.

Semalam, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPB di zon merah iaitu Sandakan, Papar, Tuaran di Sabah dan Klang di Selangor bermula 9 Oktober susulan peningkatan kes Covid-19 di kawasan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Selain itu Ismail Sabri berkata, bank dan kemudahan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di kawasan zon merah dan PKPB, boleh beroperasi seperti biasa.

Mengenai perkembangan Pasukan Petugas Operasi Pematuhan PKP Pemulihan (PKPP), beliau berkata, polis menahan 420 individu atas pelbagai kesalahan ingkar arahan PKPP semalam.

“Daripada jumlah itu, seramai 380 individu telah dikompaun, 39 individu direman dan seorang dijamin.

“Bagi Ops Benteng pula, seramai 31 pendatang asing tanpa izin serta masing-masing seorang tekong dan penyeludup ditahan semalam, selain turut merampas 11 kenderaan darat,” katanya.

Dalam pada itu, sehingga semalam sebanyak 270 kertas siasatan berhubung berita palsu berkaitan Covid-19 dibuka polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Ismail Sabri berkata, daripada jumlah itu sebanyak 133 masih dalam siasatan, 35 kes telah didakwa di mahkamah, 19 mengaku salah dan 12 lagi diberikan notis amaran. - Bernama