Sindiket 'cuci duit': Ratusan syarikat dikesan

AZAM BAKI
AZAM BAKI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Beratus-ratus syarikat dami diwujudkan bagi mengaburi mata pihak berkuasa berhubung sindiket 'cuci duit' atau pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan perniagaan beberapa selebriti tanah air.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki tanpa mendedahkan butiran lanjut bilangan syarikat dami itu berkata, kesemua syarikat yang dikesan SPRM itu sengaja diwujudkan bagi menyalurkan wang haram sindiket terbabit.

"Modus operandi syarikat-syarikat dami ini ialah apabila mereka (ahli sindiket 'cuci duit') menerima wang haram, mereka akan membentuk sebuah syarikat yang menjalankan sesuatu perniagaan yang nampak 'halal' di mata orang awam.

Di sinilah (syarikat dami) menerima wang haram dan ia akan disalurkan kepada beberapa pihak seperti peniaga-peniaga untuk berniaga dalam bentuk wang tunai. Maka orang-orang yang berniaga ini tidak tahu daripada mana datangnya sumber wang itu," katanya dalam wawancara SPRM bertajuk 'Pemerkasaan SPRM dan Usaha Pencegahan Rasuah' di radio MACC. fm di sini.

Azam berkata, ada ahli sindiket berkenaan yang menggunakan wang haram itu untuk bertindak sebagai syarikat pinjaman wang seperti ah long dan menyebabkan rakyat tertipu.

Beliau berkata, setakat ini, SPRM telah membekukan 730 akaun bank bernilai RM80 juta dipercayai akaun sindiket itu.

"Selain itu, kami menyita wang tunai RM5 juta dan 23 buah kenderaan mewah pelbagai jenis antaranya (Ford) Mustang, Rolls Royce, Bentley, Ferrari dan Porshe serta beberapa motosikal berkuasa besar dimiliki ahli sindiket, yang dipercayai hasil aktiviti haram,” katanya.

Azam berkata, setakat ini pihaknya menahan 11 orang awam dan lapan anggota pihak berkuasa kerana disyaki terlibat memberi perlindungan kepada sindiket terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Hasil siasatan SPRM mendapati sindiket ini telah beroperasi sejak beberapa tahun lepas dan pihak saya mencurigai bagaimana mereka ini beroperasi secara berleluasa tanpa dikesan pihak berkuasa.

Siasatan kami juga menjurus untuk membekukan aset-aset akaun yang cuba 'dicucikan' mereka dan SPRM akan membawa mereka terlibat ke muka pengadilan serta merampas wang-wang ini agar dimasukkan sebagai hasil kerajaan kerana ia merupakan wang rakyat yang ditipu," katanya.

Azam berkata, individu-individu yang melindungi sindiket itu juga sedang disiasat kerana dipercayai terlibat kerana membiarkan sindiket menjalankan aktiviti haram, tanpa diambil tindakan.

"Saya ingin maklumkan bahawa SPRM juga berkolaborasi dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk melihat isu-isu cukai mereka berhubung sindiket ini.

Penyiasatan kes ini amat rumit dan ia bukan satu siasatan yang mudah. Oleh itu, saya meminta orang ramai agar bersabar kerana SPRM masih mengesahkan aset-aset yang telah digubah," katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang pernah menerima atau secara tidak sengaja menerima wang itu daripada mana-mana pihak sindiket terbabit, untuk menghubungi pegawai SPRM dan berkata orang awam yang menjadi mangsa akan dipanggil sebagai saksi jika mereka sanggup bekerjasama dengan SPRM.

"Saya menyeru kepada orang awam jika ada mana-mana pihak terlibat sindiket ini untuk menghubungi tiga pegawai SPRM iaitu Penolong Pesuruhjaya (PPJ) Asrul di talian 013-3126020, PPJ Rohaizi 013-9400200, dan Penguasa Kanan Sabri 017-2582415," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Sindiket 'cuci duit': Tiga pegawai, dua anggota polis ditahan

Semalam, Bernama melaporkan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan lima anggota polis ditahan kerana disyaki terlibat sindiket ‘cuci duit’ berkaitan sindiket berkenaan.

Sebelum ini, sepasang suami isteri bergelar artis, dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram.- Bernama