Johor kenal pasti tanah wakaf terbiar

Osman ketika bercakap bercakap kepada pemberita, semalam.
Osman ketika bercakap bercakap kepada pemberita, semalam.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor akan kenal pasti tanah wakaf yang tidak dimajukan di negeri ini bagi membolehkan kerajaan persekutuan membina lebih banyak rumah mampu dimiliki rakyat.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, terdapat kira-kira 1,500 hektar tanah wakaf di seluruh Johor untuk sekolah agama, tanah kubur, masjid dan surau serta komersil.

Menurutnya, daripada keseluruhan keluasan tersebut, terdapat tanah wakaf yang tidak majukan malah ditinggalkan sehingga puluhan tahun.

"Kita telah kenal pasti tanah wakaf yang sudah tidak dimajukan di negeri ini.

"Kerajaan negeri akan bekerjasama untuk merealisasikan dan memenuhi cadangan kerajaan persekutuan," katanya kepada pemberita pada sidang media Majlis penyerahan kunci Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ) Denai Nusantara di Denai Nusantara, di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar, Dzulkefly Ahmad.

Terdahulu, Kerajaan Persekutuan memohon setiap kerajaan negeri mengemukakan lokasi tanah yang bersesuaian bagi membangunkan lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat.

Tujuannya untuk merealisasikan hasrat untuk membina sejuta unit kediaman mampu milik dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Osman berkata, beliau meminta Kerajaan Persekutuan memikirkan cara bagi membantu pembeli rumah yang berdepan kesukaran mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan.

"Saya minta supaya kerajaan bukan sahaja membina rumah, tetapi membantu rakyat yang kurang berkeupayaan dengan menyediakan pinjaman secara mudah.

"Kita kena fikirkan bagaimana untuk membantu mereka dalam soal ini," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pemaju yang gagal membina RMBJ mempunyai dua pilihan untuk membayar penalti iaitu sama ada mahu membayar penuh atau secara berperingkat.

"Mereka perlu bayar penuh jumlah unit rumah yang tidak dibina dengan bayaran RM40,000 seunit.

"Kalau mereka nak bayar secara berperingkat, kita kenakan RM60,000 seunit, tetapi kena bayar 50 peratus pendahuluan," katanya.

Jelasnya, langkah tersebut dibuat kerana banyak pemaju memilih untuk tidak membina RMBJ.