Gesa larang ahli politik pulang dari Sabah masuk kampus

Alif Fahmi Zahari
Alif Fahmi Zahari
A
A
A

SHAH ALAM - Mahasiswa Keadilan Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MKM UKM) menggesa agar pihak institusi pengajian tinggi (IPT) terutama UKM untuk melarang ahli politik yang baharu pulang dari Sabah daripada memasuki kampus.

Pengerusinya, Alif Fahmi Zahari berkata, ia susulan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah disahkan positif koronavirus (Covid-19) sehari selepas melawat ke kampus UKM Bangi dan juga Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam demi memberi bantuan Musaadah Khas Siswa.

"MKM UKM meminta pihak UKM melalui Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (KMUKM) supaya menyekat seketika kemasukan ahli politik tanpa mengira parti politik ke dalam kampus sama ada Bangi, Kuala Lumpur mahupun Cheras kerana ia boleh mengundang penularan wabak Covid-19.

"Kami juga sedia membantu bagi menangani penularan wabak daripada tersebar di persekitaran terdekat sekiranya KMUKM memerlukan bantuan," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Selain itu, Alif Fahmi berkata, pihaknya juga buat masa ini terpaksa menunda segala aktiviti terdekat demi mengekang wabak ini tersebar kepada orang ramai khususnya mahasiswa.

"Kami sarankan agar mahasiswa UKM patuh segala prosedur operasi standard (SOP) seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan mengesahkan seorang individu yang menghadiri satu mesyuarat di Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 3 Oktober lalu didapati positif Covid-19 dan kini telah dimasukkan ke hospital untuk pengasingan, pemerhatian dan rawatan mengikut protokol sedia ada bagi kes disahkan positif wabak tersebut.

Katanya, pengesanan dan siasatan kontak kepada individu sedang dijalankan termasuk saringan gejala dan pengambilan swab bagi pengesanan jangkitan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Zulkifli menerusi Facebook mengesahkan beliau positif Covid-19 dan meminta orang ramai yang menyertai majlis yang dihadirinya dari 24 September hingga 4 Oktober untuk menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 di mana-mana klinik kesihatan dengan segera.

ARTIKEL BERKAITAN: Zulkifli sah positif Covid-19