Persidangan meja bulat Bersih himpunkan ahli politik, pakar

Thomas Fann (tengah) ketika sidang media di Parlimen pada Selasa.
Thomas Fann (tengah) ketika sidang media di Parlimen pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persidangan meja bulat anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan Global BERSIH pada Selasa menghimpunkan ahli politik kerajaan, pembangkang, pakar dari dalam dan luar negara, pemimpin masyarakat sivil, ahli akademik dan kumpulan mahasiswa bagi membincangkan mengenai ‘Mendalami Demokrasi di Malaysia: Menjadikan kerajaan gabungan dan Parlimen tergantung berfungsi’.

Pengerusi Bersih, Thomas Fann berkata, penganjuran pertama kali yang diadakan di Parlimen itu mendapat kerjasama Pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Pejabat Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat serta Kofi Annan Foundation (KAF).

"Kita juga mendapat dukungan dan sokongan penuh daripada delegasi Kesatuan Eropah Ke Malaysia, Suruhanjaya Tinggi Australia di Malaysia dan Suruhanjaya Tinggi Kanada di Malaysia untuk menjayakan program selama dua hari ini iaitu bermula dari 9-10 Mei ini.

“Kerangka perbincangan akan menyentuh peluang dan langkah untuk mempertingkatkan amalan demokrasi di Malaysia melalui konteks Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang mana tiada parti yang mendapat majoriti mudah di Parlimen berdasarkan keputusan PRU lalu," katanya pada sidang media di Dewan Persidangan Parlimen pada Selasa.

Beliau berkata, perbincangan juga akan menampilkan wakil-wakil dari negara demokrasi yang terkenal bagi berkongsi pengalaman mereka berhubung isu berkenaan.

"Situasi Parlimen tergantung bukan sahaja berlaku di Malaysia malah di negara demokrasi lain di seluruh dunia dan ada dalam kalangan negara-negara ini berjaya mencari jalan untuk menjadikan situasi Parlimen tergantung ini berfungsi dan kerajaan berada dalam keadaan stabil.

Persidangan meja bulat anjuran Bersih 2.0 dan Global BERSIH pada Selasa dihadiri ratusan wakil dari dalam dan luar negara.
Persidangan meja bulat anjuran Bersih 2.0 dan Global BERSIH pada Selasa dihadiri ratusan wakil dari dalam dan luar negara.



"Jadi itu kita tampilkan pakar dari Sweden, Finland, Jerman, Kanada, Australia dan Filipina untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran mereka berhubung perkara ini," katanya.

Parlimen tergantung ialah situasi di mana tiada parti politik atau pakatan parti politik tertentu yang mempunyai jumlah ahli atau kerusi Parlimen yang terbanyak dalam Parlimen.

Mengulas lanjut, Thomas berkata, objektif keseluruhan projek itu adalah untuk menjamin kestabilan politik yang diperlukan Kerajaan Perpaduan untuk melaksanakan dasar dan pembaharuan.

“Jadi perbincangan akan merangkumi isu-isu penting seperti menyelesaikan pilihan raya pembaharuan, meningkatkan perwakilan dan pembiayaan politik,” katanya.

Laporan yang menggariskan cadangan utama hasil daripada perbincangan akan diterbitkan selepas forum meja bulat selesai.

Keputusan segera meja bulat pertama di Parlimen akan meningkatkan kesedaran di kalangan rakyat dan pihak berkepentingan tentang faedah, amalan dan cabaran gabungan pelbagai parti di seluruh dunia dan pemahaman yang lebih mendalam tentang cara ia digunakan dalam konteks Malaysia.