X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Peniaga lebih rela angkut air daripada tanggung rugi

Air yang diangkut dari rumah untuk kegunaan di kedai susulan ganggun air tidak berjadual di Hulu Langat, Sepang, Petaling dan Kuala Langat hari ini.
A
A

BANGI - Seorang peniaga lebih rela mengangkut air dari rumah di Desa Sentosa ke kedainya di Bandar Baru Bangi daripada menutup operasi perniagaan susulan gangguan air tidak berjadual semalam.

Pengusaha restoran De Salai Bangi Stesen, Hamdan Abrol berkata, jarak lima kilometer tidak menjadi halangan untuk restorannya beroperasi bagi mengelakkan kerugian kerana perlu membayar gaji 20 pekerjanya selain komitmen sewa yang tinggi.

"Sepanjang empat tahun berniaga di kawasan ini sekurang-kurangnya empat kali gangguan air berlaku termasuk dua kali bagi tahun ini.

"Memang perit apabila berdepan masalah air kerana perniagaan terganggu. Kami sukar memasak tetapi masalah itu perlu dihadapi bagi membolehkan kedai dibuka seperti biasa," katanya ketika tinjauan Sinar Harian di sini semalam.

Katanya, dia berdepan kerugian RM8,000 jika restoran tidak beroperasi sedangkan gangguan air biasanya berlarutan antara dua hingga tiga hari.

Hamdan menunjukkan notis gangguan bekalan air yang dipasang dikedainya untuk pemakluman kepada pelanggannya.
Hamdan menunjukkan notis gangguan bekalan air yang dipasang dikedainya untuk pemakluman kepada pelanggannya.

"Selain mengangkut air dari rumah saya keluarkan peruntukan lebih RM300 untuk membeli cawan plastik dan kertas lapik pinggan pakai buang.

"Memang ini yang biasa dilakukan setiap kali menghadapi masalah gangguan air dan kami cuba minimumkan penggunaan air. Air yang berbaki dalam tangki kami khususkan untuk membuat minuman.

"Biasanya kami beroperasi dari jam 7.30 pagi hingga ke malam tetapi terpaksa menutup restoran lebih awal pada waktu petang kerana masalah ini," katanya.

Seorang lagi peniaga, Nazri Hasan, 38, yang mengusahakan kafe berkata, pihaknya maklum dengan gangguan bekalan air di kawasan itu namun kedainya yang terletak di Bandar Baru Bangi masih belum terputus bekalan.

"Setakat ini masih ada air dan saya rasa air tangki cukup untuk siapkan tempahan pelanggan hari ini. Saya harap tiada gangguan air di sini dan jika berlaku mungkin terpaksa tutup operasi esok kerana saya tidak menyimpan air," katanya.

Nazri meneruskan perniagaan seperti biasa.
Nazri meneruskan perniagaan seperti biasa.

Semalam, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas sepenuhnya susulan insiden pencemaran air mentah di Sungai Semenyih yang menjadi sumber air mentah ke dua loji berkenaan.

Henti tugas loji itu menyebabkan 274 kawasan terjejas dengan 309,687 akaun pengguna mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan empat wilayah iaitu Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

Pelanggan makan beralas kertas dan cawan plastik susulan gangguan bekalan air di kawasan itu hari ini.
Pelanggan makan beralas kertas dan cawan plastik susulan gangguan bekalan air di kawasan itu hari ini.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!