ADUN Kampung Tunku positif Covid-19

Lim Yi Wei
Lim Yi Wei
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku, Lim Yi Wei mengesahkan dirinya positif wabak koronavirus (Covid-19) menerusi keputusan ujian saringan kali kedua hari ini.

Menurut Yi Wei, selepas kembali dari Sabah pada 27 September lalu, pihaknya telah menjalani ujian saringan pertama di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dan turut dipakaikan gelang merah jambu.

Beliau berkata, keputusan ujian saringan pertama yang diperolehi pada 30 September lalu juga adalah negatif dan pihaknya turut dipanggil Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling Jaya untuk menanggalkan gelang itu pada keesokan hari.

"Sejak hari pertama, saya mengamalkan pengasingan kendiri di rumah.

"Malangnya, saya mula mengalami gejala berkaitan dengan Covid-19 pada hari tersebut (tanggal gelang merah jambu).

"Berdasarkan saranan PKD, saya menjalani ujian saringan kedua pada 2 Oktober lalu dan sambung pengasingan kendiri sehingga dimaklumkan keputusannya hari ini," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Yi Wei berkata, pasukannya juga turut mengamalkan pengasingan kendiri sejak hari pertama kembali dari Sabah malah keputusan ujian saringan mereka juga didapati negatif.

Beliau berkata, kesemua ahli pasukannya akan menjalani ujian kedua saringan Covid-19 dalam masa terdekat bagi memastikan mereka bebas daripada pandemik berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga menyeru semua yang berkontak rapat dengan saya sejak 14 hari kebelakangan ini untuk menjalani ujian saringan di klinik kesihatan yang berhampiran," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Zulkifli sah positif Covid-19