'Jangan kutuk lawan dijangkiti Covid-19, doakan mereka'

Mohamad Sabu
Mohamad Sabu
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu mengingatkan orang ramai agar mendoakan kesihatan mereka yang dijangkiti pandemik koronavirus (Covid-19) dan bukannya terus menerus mengutuk mereka.

Mohamad berkata, sebagai sebuah parti politik yang meletakkan Islam Rahmatan lil Alamin dalam perjuangan, Amanah hendaklah berhadapan dengan lawan politik mengenai isu rasuah, penyelewengan dan ketidakcekapan urus tadbir.

Bagaimanapun menurut Ahli Parlimen Kota Raja itu, apabila lawan politik ditimpa penyakit, maka hendaklah mendoakan kesihatan mereka dan bukannya mengutuk mereka yang dalam keuzuran.

“Islam melarang kita mengutuk orang yang ditimpa penyakit termasuklah yang berbeza agama. Ambil lah tauladan Solehudin Al Ayubi yang menghantar perawat untuk merawat lawannya dalam perang salib sehingga sembuh.

“Sesiapa sahaja ditimpa musibah Covid-19 termasuklah (Presiden Amerika Syarikat) Donald Trump, hendaklah kita doakan supaya mereka sembuh. Kita berlawan dengan mereka apabila mereka sihat bukannya sakit,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Kenyataan Mohamad turut dipercayai merujuk kepada beberapa pemimpin UMNO yang disahkan positif Covid-19 selepas pulang berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah minggu lalu.

Sementara itu, Mohamad turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi arahan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha mengekang penularan wabak tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air positif Covid-19

Artikel Berkaitan:

Trump, isteri positif Covid-19