Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air positif Covid-19

Ahmad Masrizal Muhammad
Ahmad Masrizal Muhammad
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Dr Ahmad Masrizal Mohamad mengesahkan beliau positif jangkitan koronavirus (Covid-19) selepas ujian kedua dilakukan Rabu lalu dan kini dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Menurutnya, ujian pertama yang dilakukan pada 23 September lalu di Kota Kinabalu ketika kempen Pilihanraya Negeri Sabah dan keputusannya adalah negatif.

"Bagaimanapun selepas keputusan kedua yang mendapati positif, saya dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada Khamis dan kini, Alhamdulillah saya sihat.

"Sejak ujian pertama dilakukan, saya tiada sebarang tanda-tanda demam dan batuk. Cuma sebelum masuk pejabat Isnin lalu, saya telah mengambil inisiatif sendiri untuk buat ujian swap sekali lagi dan mendapati keputusannya positif," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, beberapa pemimpin parti politik turut disahkan positif Covid-19 antaranya Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razlan Muhammad Rafii.

Tambahnya, ketika menunggu keputusan ujian pertama dan kedua, Ahmad Masrizal berkata, dia telah menjalani kuarantin bersendirian di rumah.

"Cuma selepas keputusan kedua keluar dan mendapati saya positif, saya di bawa ke hospital untuk dirawat hingga hari ini.

"Saya mengharapkan agar kita semua tidak mengambil mudah ancaman Covid-19 ini. Jika ada peluang untuk buat ujian kedua atau ketiga pergilah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Masrizal yang berkongsi pengalamannya berkata, beliau sendiri tidak mempunyai sebarang gejala tetapi disahkan mempunyai jangkitan.

"Ini menunjukkan bahawa seribu kemungkinan boleh berlaku. Jadi mencegah dan berwaspada adalah lebih baik," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Shahril Hamdan positif Covid-19 selepas berkempen di Sabah

ADUN Ayer Limau positif Covid-19