Ibu bapa anggap guru pengasuh anak

Suhaime Saad
Suhaime Saad
A
A
A

SHAH ALAM - Masalah sikap ibu bapa yang mengambil anak lewat petang selepas waktu kerja dilihat ketara di Putrajaya.

Bekas Pengerusi Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah-Sekolah Putrajaya, Datuk Seri Dr Suhaime Saad berkata, ramai ibu bapa berasakan sekolah mempunyai taman asuhan dan cikgu merupakan pengasuh anak-anak mereka selepas tamat waktu sekolah.

"Ada ibu bapa mengambil anak-anak mereka pada jam 6 petang, malah jam 7.30 malam pun ada. Jika sesekali tidak mengapa tetapi ia tidak boleh menjadi kebiasaan kepada ibu bapa.

"Namun, tidak ada sebarang rungutan daripada cikgu-cikgu di Putrajaya dan saya sangat mengagumi keikhlasan mereka melakukan tugas," katanya.

Menurutnya, apabila pelajar ke sekolah, sebanyak 70 peratus soal pemantauan dan pengajaran mereka diserahkan kepada guru dan selebihnya ibu bapa di rumah.

"Fungsi guru di sekolah bukan hanya mengajar akademik tetapi turut terlibat dalam kokurikulum.

"Saya akui memang ada kekangan jika sebuah sekolah itu hanya mempunyai seramai 70 orang guru, manakala jumlah pelajar seramai 700 atau 800 orang," katanya.

Mengulas mengenai senario dan landskap pendidikan di Putrajaya, beliau berkata, sebelum pandemik koronavirus (Covid-19), PIBG bersama jawatankuasa berkaitan yang diwujudkan bermuafakat memastikan anak-anak berada dalam keadaan selamat dan mendapat didikan sempurna.

Artikel Berkaitan:

"Yang menarik di Perbadanan Putrajaya, mereka menubuhkan satu badan perwakilan penduduk Putrajaya. Kita ada kira-kira 18 presint dan setiap presint mempunyai ketua.

"Jika ada isu, kita panggil bermesyuarat dan wakil-wakil ini akan bawa kepada jawatankuasa mereka," katanya.