Kerajaan gagal gantung perintah lucut wang RM628,314 Jakel Trading

Kegagalan untuk melakukan dan menyusun strategi kewangan jitu untuk menangani masalah 1MDB akan membawa kepada impak negatif yang serius kepada negara.
Kegagalan untuk melakukan dan menyusun strategi kewangan jitu untuk menangani masalah 1MDB akan membawa kepada impak negatif yang serius kepada negara.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan semalam gagal untuk menggantung pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi di sini, yang menolak permohonannya untuk melucut hak wang Jakel Trading berjumlah RM628,314, yang didakwa berkaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menolak permohonan kerajaan untuk menggantung perintah itu, selepas mendapati tiada merit dalam permohonan tersebut.

Dalam penghakiman ringkasnya, Ahmad Shahrir berkata, mahkamah mendapati permohonan tersebut tidak menepati maksud yang diperuntukkan dalam Seksyen 311 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).

“Seperti hujah TPR (timbalan pendakwa raya), apa yang dipohon untuk digantung pelaksanaannya di bawah Seksyen 311 KPJ ialah satu perintah, sedangkan dalam keputusan yang diberikan oleh mahkamah pada 9 Jun lalu saya dapati tiada sebarang terma untuk dilaksanakan, yang mewajarkan apa-apa penggantungan pelaksanaannya.

“Dalam hujahnya, pemohon (TPR) juga memohon perintah penggantungan pelaksanaan dibenarkan untuk kekalkan status quo, kerana kesan keputusan mahkamah ini akan mengakibatkan pihak SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) terpaksa mengembalikan wang yang disita kepada responden (Jakel Trading).

“Malangnya, Seksyen 311 KPJ memperuntukkan secara khusus, bagi permohonan ditujukan kepada apa-apa penghakiman, perintah, sabitan atau hukuman, dan bukannya ditujukan kepada kesan daripada keputusan mahkamah. Oleh demikian, mahkamah dapati tiada merit dalam permohonan pemohon dan mahkamah dengan ini menolak permohonan pemohon,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Mahadi Abdul Jumaat hadir bagi pihak pemohon, sementara peguam, Thevini Nayagam dan Habizan Habeeb Rahman, mewakili Jakel Trading.

Ketika ditemui pemberita selepas prosiding Mahadi berkata, pihaknya perlu menunggu arahan selanjutnya daripada Jabatan Peguam Negara, sama ada akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah semalam atau sebaliknya.

Artikel Berkaitan:

Pada 9 Jun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak wang daripada Jakel Trading berjumlah RM628,314.

Wang itu disita SPRM didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1MDB dan Jakel Trading didakwa menerima wang itu daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. - Bernama