X

Kindly register in order to view this article
!

Guru SK Permatang Janggus positif Covid-19

Gambar tular membabitkan pasukan KKM menjalankan ujian saringan Covid-19 di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Janggus, Penaga, semalam
A
A

KEPALA BATAS - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang mengarahkan Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Janggus, Penaga dekat sini ditutup sehingga 8 Oktober ini berikutan seorang guru wanita di sekolah berkenaan positif koronavirus (Covid-19).

Pengarahnya, Abdul Rashid Abdul Samad berkata, arahan itu berkuat kuasa bermula semalam bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

“Setakat ini, sekolah itu akan ditutup selama lapan hari dan sebarang keputusan lain akan dibuat selepas kami bermesyuarat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Katanya, beliau belum mendapat laporan lengkap dari SK Permatang Janggus, namun dimaklumkan semua murid perlu menjalani ujian saringan Covid-19 yang dijalankan di sekolah semalam.

Difahamkan guru wanita berusia lingkungan 40-an itu dilaporkan tidak sihat ketika di sekolah sebelum mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Kedah kerana tinggal di Sungai Petani dan ujian Covid-19 mendapati beliau positif.

Difahamkan wanita itu isteri kepada seorang ahli politik di Kedah dan suaminya sebelum itu pergi berkempen di Sabah semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.

Sementara itu, tinjauan Bernama di sekolah berkenaan mendapati ibu bapa serta penjaga menunggu anak-anak mereka yang menjalani ujian saringan Covid-19 dalam kawasan sekolah sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

Menurut mereka, pihak sekolah memaklumkan kepada waris menerusi aplikasi WhatsApp pagi semalam yang kesemua murid iaitu kira-kira 600 murid perlu menjalani ujian saringan Covid-19 tersebut dan diarahkan dikuarantin di rumah. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!