'Gadai nyawa demi adik'

Nuraina Erieka (tengah) bertindak menyelamatkan adiknya bongsunya sewaktu kebakaran berlaku di rumahnya di Flat Taman Anggerik Desa Jalan Beserah pada Rabu lalu.
Nuraina Erieka (tengah) bertindak menyelamatkan adiknya bongsunya sewaktu kebakaran berlaku di rumahnya di Flat Taman Anggerik Desa Jalan Beserah pada Rabu lalu.
A
A
A

KUANTAN - Walaupun dilahirkan lembam, namun remaja berusia 13 tahun itu sanggup bergadai nyawa menyelamatkan adiknya yang terperangkap dalam kebakaran di rumahnya di Flat Taman Anggerik Desa Jalan Beserah pada Rabu lalu.

Bapanya, Wan Ahmad Faiz Wan Shamsudin, 38, berkata, sewaktu kejadian dia dan isteri, Nur Zalina Mohd Fauzi, 38, ke rumah ibunya yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah mereka dan ketika itu anak bongsu mereka sedang tidur dalam bilik.

Menurutnya, dia tidak menyangka Nuraina Erieka Abdullah bertindak sedemikian selepas menyedari adiknya yang berusia setahun tiga bulan terperangkap dalam bilik.

"Saya difahamkan Nuraina Erieka yang sudah menyelamatkan diri, kembali naik semula ke tingkat tiga rumah selepas mendapatinya adik bongsunya dari tujuh beradik itu masih berada dalam bilik tidur.

"Dia (Nuraina Erieka) bertindak berani meredah asap tebal dan bahang api bagi menyelamatkan adiknya, keberaniannya yang ditunjukan begitu membanggakan kami sekeluarga.

"Walaupun dia lembam, namun mampu membantu keluarga terutama menjaga adiknya dengan baik " katanya, ditemui di rumahnya di Beserah di sini hari ini.

Wan Ahmad Faiz berkata, sekiranya Nuraina Erieka tidak bertindak segera, kemungkinan kejadian buruk berlaku susulan asap tebal memenuhi dalam rumah ketika itu.

Sementara itu, Nur Zalina mengakui berasa terharu setiap kali teringatkan kesungguhan anak sulungnya itu yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semambu di sini meredah asap tebal semata-mata untuk menyelamatkan adiknya.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun dia istimewa tetapi mampu melakukan sesuatu yang membanggakan kami semua," katanya.

Jelasnya, kebakaran berpunca daripada kebocoran paip dapur gas, sebelum api merebak menyambar dinding dan siling.

Katanya, akibat kejadian berkenaan mereka sekeluarga terpaksa menumpang di inap desa seorang individu yang prihatin.

"Dengan pendapatan tidak seberapa sebagai peniaga jagung, saya buntu memikirkan sampai bila kami sekeluarga terpaksa menumpang," katanya.

Dalam pada itu, Nur Zalina mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masayarakat (JKM), SMK Semambu, jiran dan beberapa pihak yang banyak membantu meringankan mereka sekeluarga.