Pulun Darulaman Pulun? pelik bunyinya...

Puaka Jerai
Puaka Jerai
A
A
A

"DARULAMAN FC? pada saya ianya tidak sesuai dan janggal kerana Darulaman lebih sesuai untuk nama stadium keramat kita iaitu Stadium Darulaman."

Itu reaksi spontan Presiden Kelab Penyokong Puaka Jerai (PJFC), Zulkifli Hashim atau dikenali Puaka Jerai, selepas Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) memilih nama Darulaman FC untuk sukan nombor satu dalam kalangan rakyat negeri jelapang padi negara itu bagi proses penswastaan daripada persatuan bola sepak (FA) ke kelab bola sepak (FC) pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

"Bagi saya adalah sebaiknya nama Kedah jangan sesekali dibuang kerana kita sudah pun sinonim dengan panggilan Kedah dan sudah sebati dengan warna hijau kuning sebagai warna keramat dalam sukan bola sepak Kedah

"Seandainya tidak mahu dikaitkan dengan ayam goreng pun, masih banyak nama lain yang masih boleh digunakan seperti Kedah United Football Club (KUFC) atau Kedah Darulaman Football Club (KDFC) yang mengekalkan nama Kedah.

"Pada saya dalam bab nama pasukan ini seandainya kita tidak tahu, kita boleh sahaja mendapatkan pandangan atau bertanya kepada orang yang tahu, tak rugi pun sebenarnya," katanya.

Pada masa sama, Puaka Jerai mengakui agak terkilan apabila mendakwa KFA tidak mendapatkan pandangan dalam kalangan penyokong setia Hijau Kuning dalam perkara berkaitan pertukaran nama pasukan Kedah yang sememangnya dekat dengan hati rakyat negeri itu.

"Alangkah moleknya, orang-orang yang mempunyai kuasa-kuasa besar dalam bola sepak Kedah ini terlebih dulu meminta pandangan daripada penyokong setia Hijau Kuning mengenai nama untuk pasukan yang disayangi ini.

"Jangan sesekali sisihkan pandangan penyokong yang banyak memberikan sokongan selama ini. Harus diingat bahawa penyokong selama ini banyak bekorban wang, masa, tenaga tidak mengira jatuh bangun pasukan, dan ini perlu dihargai.

Artikel Berkaitan:

"Apa salahnya bertanyakan pandangan penyokong-penyokong setia Hijau Kuning? Sedarkah kita bahawa nama pasukan juga perlu diambil kira, ianya juga sebahagian suntikan semangat kepada pemain dan penyokong untuk berjuang memburu kejayaan dalam saingan Liga Malaysia.

"Laungan semangat Pulun Kedah Pulan sudah sebati dengan rakyat negeri Kedah dalam sukan bola sepak. Pulun Darulaman Pulun, agak janggal bagi saya mungkin juga penyokong setia Hijau Kuning lain

"Sebelum ini jika kita pernah bersama-sama memberi sokongan dalam stadium tidak mengira di gelanggang kita atau tempat lawan pastinya kita kedengaran dengan sorakan Pulun Kedah Pulun dari dulu lagi.

"Jadi tidakah janggal jika tetiba penyokong cilik yang selama ini melaungkan Pulun Kedah Pulun secara tiba-tiba melaungkan Pulun Darulaman Pulun, tidakah itu pelik sangat? itu belum lagi reaksi penyokong dewasa dan kumpulan gendang penyokong," katanya.

Sementara mengenai pemilihan logo pasukan pula, Puaka Jerai menegaskan bahawa lencana di dada itu perlulah mempunyai aura dan imej yang jelas mengenai pasukan berkenaan.

"Ada yang berkata - bukan logo yang hendak main bola. Saya tergelak juga apabila ada yang berkata sedemikian.

"Dalam dunia yang serba canggih dengan kemajuan teknologi, logo memainkan peranan penting kepada sesebuah pasukan. Jadi sesuatu logo itu harus direka dengan teliti dan kreatif atau imej yang diwakili dapat ditonjolkan dengan lebih jelas, penuh bermakna dan menarik.

"Kelazimannya ia akan menjadi ikon dan simbol kepada apa sahaja yang diwakilinya kerana logo berperanan penting dalam sesuatu kempen supaya kewibawaan, konsep dan motif yang direncanakan dapat dihayati dengan dengan cepat dan penuh berprestij.

"Harus diingat ini bukan pasukan kampung, ini pasukan yang beraksi pada saingan Liga Malaysia dan bukan bahan lawak jenaka. Hanya yang mempunyai jiwa dalam bola sepak sahaja boleh memahami," katanya yang berharap isu Darulaman FC ini dikaji semula golongan yang mempunyai kuasa dalam bola sepak Kedah.