Anak kucing dilarikan, reaksi tenang tarik perhatian

Tangkap layar video memaparkan seorang lelaki kelihatan tenang ketika melihat anak kucingnya 'dilarikan' oleh seorang kanak-kanak di depan mata.
Tangkap layar video memaparkan seorang lelaki kelihatan tenang ketika melihat anak kucingnya 'dilarikan' oleh seorang kanak-kanak di depan mata.
A
A
A

KEBIASAANNYA sekiranya haiwan kesayangan kita diambil atau dilarikan orang, kita secara automatik akan panik dan cuba mendapatkannya semula.

Namun lain pula dengan reaksi tenang seorang lelaki yang melihat anak kucingnya 'dilarikan' oleh seorang kanak-kanak di depan mata.

Dalam video itu dapat didengari dengan jelas suara kanak-kanak itu yang tertarik tatkala melihat anak kucing yang sedang berjalan sendirian di sebuah taman permainan.

"Eh comelnya awak, nak bawa baliklah," ujarnya seraya terus mengangkat anak kucing itu.

Wanita itu yang panik dan kedengaran seperti hendak menangis mengingatkan suaminya bahawa anak kucing itu milik mereka, namun dibalas dengan ayat ringkas: "Biar je...".

Rata-rata pengguna media sosial tertarik dengan reaksi bersahaja lelaki itu yang dirakamkan isterinya, biarpun suri hatinya itu sudah mula panik melihat anak kucing mereka diambil.

Tidak kurang juga yang meminta wanita tersebut berkongsi bahagian kedua mengenai anak kucing itu.

Namun pemilik video bernama Amira Fitriah memaklumkan tiada video bahagian kedua dan mereka sudah mendapat semula anak kucing bernama Kirana yang 'dilarikan' itu.