Lampard gembira aksi Mendy walau gagal ke suku akhir Piala Liga

Edouard Mendy -Foto: Gettyimages
Edouard Mendy -Foto: Gettyimages
A
A
A

BIARPUN tersingkir daripada saingan Piala Liga setelah tewas pada pusingan ketiga menerusi penentuan sepakan penalti kepada Tottenham Hotspurs semalam, pengendali Chelsea Frank Lampard tetap berpuas hati dengan aksi yang ditunjukkan penjaga gol baharu skuad The Blues, Edouard Mendy pada perlawanan berkenaan.

Lampard berkata, penjaga gol berusia 28 tahun dari Senegal itu telah beraksi cemerlang pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Tottenham Hotspurs itu biarpun gagal menyelamatkan kelima-lima sepakan tuan rumah pada penentuan sepakan penalti yang diadakan setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 hingga tamat masa tambahan.

Bagaimanapun menurut Lampard, dia tetap berpuas hati dengan keseluruhan aksi yang dipamerkan Mendy pada keseluruhan perlawanan berkenaan.

"Saya benar-benar gembira dengan aksi yang dipersembahkan Mendy. Dia telah beraksi dengan cukup baik dengan menyelamatkan banyak percubaan lawan.

"Selain itu, dia turut 'keluar' (dari kawasan gol) dan berjaya menyelamatkan beberapa percubaan dan saya lihat ia sebenarnya adalah satu tindakan yang positif.

"Oleh itu, saya sangat-sangat gembira menyaksikannya beraksi," katanya.

Pada perlawanan berkenaan pemain jaringan pembukaan Timo Werner pada minit ke-19 nyata tidak mencukupi buat skuad The Blues itu apabila Erik Lamela menjaringkan gol penyamaan tujuh minit sebelum tamat masa perlawanan sebenar bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan dan seterusnya ke penentuan sepakan penalti.

Kesemua sembilan sepakan penalti berjaya disempurnakan pemain kedua-dua pasukan namun sepakan ke-10 daripada Mason Mount tersasar dan sekali gus mengesahkan kemaraan Tottenham Hotspurs.

Artikel Berkaitan:

”Sementara itu Lampard menafikan kegagalan Mount menyempurnakan sepakan penalti berkenaan sebagai punca kegagalan skuad kendaliannya itu untuk mara ke suku akhir.

"Memang ia malam yang mendukacitakan apabila tersingkir daripada saingan Piala Liga, tetapi saya tidak fikir ia salah Mount kerana ia adalah sesuatu yang kolektif jika anda gagal menyempurnakannya (penalti) pada perlawanan seperti ini.

"Apa pun, dia (Mount) akan memiliki banyak masa untuk pasukan ini dan juga untuk negaranya. Dia akan sentiasa mendapat sokongan daripada saya, pasukan dan juga semua orang di sekelilingnya," katanya.