X

Kindly register in order to view this article
!

Pemimpin berjiwa rakyat pilihan utama pengundi

Sivamurugan Pandian
A
A

SHAH ALAM - Ahli politik perlu menjadi pemimpin rakyat sekiranya mereka mahu diterima rakyat serta kekal relevan dalam dunia politik tanah air.

Penganalisis politik, Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, ahli politik perlu menerapkan cara berpolitik yang berjiwa rakyat selain bersikap rasional dan berintegriti untuk terus kekal relevan.

"Sebab itu pemimpin seharusnya merasakan mereka sebahagian daripada rakyat, berjiwa rakyat kerana mereka hadir dari rakyat. Jadi pemimpin rakyat merupakan tema besar yang seharusnya diangkat selepas ini kalau mereka mahu terus kekal dalam masa panjang.

"Bersikap rasional dan menunjukkan sifat kesederhanaan mereka. Barulah pemimpin sebegini boleh diteladani atau dijadikan contoh," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Siri ke-197 bertajuk ‘Catur politik: Demi rakyat atau kepentingan peribadi? yang disiarkan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf malam tadi.

Turut diundang sebagai panelis ialah Ketua Penerangan Pas Pusat, Kamaruzaman Mohamad dan Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad, manakala Herleena Parlavy selaku moderator.

Sivamurugan berkata, selain itu, pemimpin politik juga perlu menunjukkan kematangan berpolitik sekiranya berdepan dengan krisis.

"Justeru mereka perlu tunjukkan yang mereka mampu 'merakyatkan kepimpinan'. Berpegang teguh kepada prinsip-prinsip keadilan, kebebasan, dan persamaan.

"Nilai-nilai negatif seperti individualisme, materialisme dan gila kuasa wajar dielakkan," katanya.

Beliau berkata, isu politik yang berlaku sedikit sebanyak mempengaruhi pola pengundian dalam pilihan raya di Malaysia.

"Hari ini perlahan-lahan runtuhnya semangat kepartian dalam kalangan generasi muda menyebabkan kita sukar meneka kerana pemikiran mereka berubah-ubah. Tiada lagi soal kesetiaan pada parti, sebaliknya kriteria calon menjadi pilihan mereka.

"Ada calon yang bertanding beberapa penggal dan masih dipilih kerana mereka sering turun padang dan merasai sendiri denyut nadi pengundi, tinggal dengan masyarakat setempat. Barulah pemimpin ini dihargai.

"Ini tidak, tinggal di Kuala Lumpur, pulang ke kawasan sekali dan hanya mengharapkan pegawai yang melakukan tanggungjawab mereka. Pemimpin ini tidak lagi relevan dalam konteks politik hari ini," katanya.

Tambahnya lagi, pengundi terutama generasi muda sering memerhatikan tingkah laku pemimpin mereka.

"Ini yang berlaku di Sabah bila ada pemimpin yang lompat parti pada tahun 2018 menyebabkan Parti Warisan Sabah (Warisan) pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Afdal mengambil alih tampuk pemerintahan.

"Pengundi merasakan ada pihak yang mengkhianati sokongan yang mereka berikan dan kini mereka diberikan ruang untuk menghukum. Pengkhianatan yang dilakukan diperhatikan dan pemimpin politik tidak boleh ambil enteng perkara ini," katanya.

Mengulas perubahan politik yang berlaku di Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), beliau berkata, pimpinan baharu perlu memastikan setiap janji dibuat ketika PRN perlu dilaksanakan.

"Kalau 20, 30 tahun dulu, mereka sekadar hanya bercakap tetapi tidak boleh melaksanakan janji mereka. Tetapi rakyat sekarang sudah mula sedar.

"Kalau 2030 akan ada Wawasan Kemakmuran Bersama, siapa yang akan menjadi pemiliknya. Kita mahu lihat limpahan sumber yang ada dapat dinikmati bukan sahaja rakyat di Semenanjung sebaliknya Sabah dan Sarawak juga.

"Jika undi itu diangkat sebagai satu amanah, kita boleh melihat pembangunan lebih besar di satu-satu kawasan walaupun sebelum ini dikatakan sukar untuk diterokai," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!