X

Kindly register in order to view this article
!

Muhyiddin perlu fokus kes Covid-19 berbanding bubar Parlimen

Ketua Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Hamid
A
A

ALOR SETAR - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhak menentukan kesesuaian membubarkan Parlimen sekiranya pilihan tersebut memanfaatkan rakyat atau menghentikan kepincangan politik dicetuskan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menumbangkan kerajaan.

Ketua Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Hamid berkata, bagaimanapun pihaknya yakin Muhyiddin lebih memberi keutamaan kepada usaha menangani pandemik Covid-19 buat masa ini berbanding ‘melayan’ kemelut politik dicetuskan pihak lawan.

Menurutnya, apatah lagi pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menyaksikan pertambahan kes positif di negeri itu selain kluster dari Sabah yang menular ke Semenanjung Malaysia.

“Kita akui ketidakstabilan kerajaan di peringkat Pusat yang memiliki majoriti sokongan tipis agak berisiko jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilengahkan, namun faktor semasa harus diberikan keutamaan,” katanya.

Komposisi terkini Dewan Rakyat (setakat 11 Mac) adalah blok kerajaan memiliki 113 kerusi Parlimen, manakala blok pembangkang sebanyak 109 kerusi.

Nurul Amin berkata, percaturan politik di negeri juga harus diambil kira dalam menentukan kesesuaian pembubaran DUN.

“Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Johari Abdul sebelum ini yakin PH Kedah mampu memenangi lebih daripada tujuh kerusi Parlimen dimiliki ketika ini jika PRU15 diadakan dalam masa terdekat.

"Beliau menyasarkan jumlah itu bersandarkan reaksi rakyat yang mahukan perubahan pemerintahan dan mandat dikembalikan semula,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun secara logik, kenyataan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor bahawa Perikatan Nasional (PN) Kedah mampu menyapu bersih kesemua kerusi ada asasnya, setelah mengambil kira semua undi pernah dimenangi Pas, UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk undi atas pagar yang mula menyokong PN.

“Apa pun telahan politik, kita tidak boleh leka dan selesa dihayun pujian. Ini kerana mood politik mutakhir ini terlalu pragmatis, anjal dan spontan yang menyebabkan kiraan tradisi mungkin perlu diperhalusi dengan sebarang kemungkinan isu, perubahan politik atau mood rakyat,” katanya.

Beliau berkata, sehubungan itu jentera pilihan raya semua peringkat sama ada negeri, kawasan, Dewan Undangan Negeri (DUN) serta sayap parti hendaklah berterusan membuat persiapan maksimum bagi memastikan dapat mencapai kemenangan di peringkat parlimen mahupun DUN.

“Anak muda mestilah didekati dan disantuni, seterusnya diyakinkan bahawa Pas mampu memberikan solusi kepada masalah dan keperluan mereka,” katanya.

Menurutnya, komposisi penduduk juga wajar diberikan tumpuan kerana Kedah berbeza dengan Kelantan dan Terengganu.

“Bukan Melayu dari Cina, India dan bukan bumiputera mewakili hampir 25 peratus komposisi kaum di Kedah. Peranan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) terutama DHPP Muda amat diperlukan untuk membantu agenda parti dan kerajaan, dalam konteks bukan Melayu dan bukan Islam,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!