Kuasa Kompaun, apa yang ajaibnya?

Kuasa faedah kompaun mengembangkan modal pelaburan sekiranya kita melabur secara konsisten untuk jangka panjang.
Kuasa faedah kompaun mengembangkan modal pelaburan sekiranya kita melabur secara konsisten untuk jangka panjang.
A
A
A

KONSEP kuasa kompaun sebenarnya satu konsep yang sangat penting untuk difahami semua orang kerana ia berkait rapat dengan pengurusan kewangan.

Ia memberi kesan pinjaman dan pelaburan. Jika diurus dengan bijak, kuasa kompaun akan memberi kelebihan kepada anda apabila melabur dan meminjam.

Bagaimana kuasa kompaun berfungsi? Secara asasnya, kuasa kompaun menambah jumlah pinjaman sekiranya ansuran bulanan tidak dilunaskan kerana kadar faedah yang tertunggak akan menambah hutang yang ada.

Bagaimanapun untuk pelaburan, ia berfungsi sebaliknya. Apabila dividen tidak dikeluarkan, modal pelaburan akan bertambah. Dividen atas dividen atas dividen ini akan terus menambah modal pelaburan jika dibiarkan untuk jangka panjang.

Jadual Kuasa Kompaun
Jadual Kuasa Kompaun

Sebagai contoh, pelaburan RM10,000 yang menerima dividen purata 5 peratus setahun, akan berkembang kepada RM16,470 selepas 10 tahun.

Untuk pelaburan RM30 setiap bulan pula, tabungan terkumpul ialah RM4,658 jika dilakukan secara berterusan untuk 10 tahun dengan dividen purata 5 peratus.

Bagaimanapun untuk mengumpul jumlah pelaburan berkenaan, modal pelaburan dan dividen tidak boleh dikeluarkan sepanjang tempoh pelaburan.

Artikel Berkaitan:

Dengan memahami kesan kuasa kompaun terhadap pinjaman dan pelaburan, anda akan dapat mengurus kewangan dengan lebih baik.

Walau ia kelihatan rumit, asasnya adalah mudah iaitu apabila meminjam, elakkan menangguh bayaran kerana kuasa kompaun akan menambah jumlah pinjaman anda.

Sebaliknya jika melabur, sebaiknya jangan keluarkan dividen yang diterima jika tiada keperluan supaya modal pelaburan anda dapat bertambah dengan lebih pantas.

No Image Caption

Untuk membina tabungan yang lebih besar, adalah sebaiknya pelaburan dimulakan seawal mungkin, sebaiknya apabila anda mula menerima gaji pertama.

Lagi satu rahsia yang perlu anda tahu ialah, lebih awal pelaburan dimulakan, lebih banyaklah duit yang dapat anda kumpul. Oleh itu, mulakanlah pelaburan dari gaji pertama, biar dalam jumlah kecil, daripada langsung tidak bermula.

Sekiranya meminjam pula, kuasa kompaun akan menambah kepada pinjaman setiap kali bayaran gagal dilunaskan sepenuhnya atau sekiranya hanya membayar jumlah minimum.

Sebagai contoh, anda menggunakan kad kredit untuk membeli beg tangan berharga RM5,000 dan hanya membayar RM100 setiap bulan semata-mata untuk mengaktifkan kad.

Untuk melunaskan belian beg tangan berkenaan, anda akan mengambil masa sehingga 8 tahun dengan faedah dikenakan sebanyak RM4,311. Secara keseluruhannya anda membayar RM9,311 untuk beg tangan berkenaan. Mungkin anda tidak sedar, namun inilah antara punca mengapa hutang kad kredit anda tidak pernah langsai.

Ini kerana kuasa kompaun menambah hutang sekiranya hutang dibiarkan tertunggak untuk satu tempoh yang panjang.

Justeru adalah lebih baik jika anda melabur dengan matlamat membeli beg tangan berharga RM5,000. Anda hanya perlu melabur RM100 untuk tempoh 3 tahun dalam instrumen pelaburan yang memberi pulangan purata tahunan 5 peratus.

Dengan memahami kuasa kompaun, anda dapat mengurus kewangan dengan lebih baik, terutamanya kerana ia membolehkan anda membuat perbandingan antara pinjaman dan pelaburan.

Untuk maklumat lanjut sila klik pautan www.asnb.com.my