Stor haram seleweng gas subsidi digempur

Aminuddin (kiri) menunjukkan antara rampasan tong gas LPG bersubsidi di sebuah stor haram di Jalan Sukepi, Kampung Jenjarom hari ini.
Aminuddin (kiri) menunjukkan antara rampasan tong gas LPG bersubsidi di sebuah stor haram di Jalan Sukepi, Kampung Jenjarom hari ini.
A
A
A

KUALA LANGAT - Kegiatan penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi di sebuah stor haram di Jalan Sukepi, Kampung Jenjarom di sini sejak enam bulan lalu akhirnya terbongkar melalui Ops Gasak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor malam tadi.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Selangor, Aminuddin Muhammad berkata, serbuan kira-kira jam 8.45 malam itu merampas 1,709 tong gas LPG bersaiz 14 kilogram (kg) termasuk 894 tong kosong.

Sebuah lori tangki yang diguna untuk memindahkan gas LPG bersubsidi dirampas dalam serbuan di sebuah stor haram di Jalan Sukepi, Kampung Jenjarom, hari ini.
Sebuah lori tangki yang diguna untuk memindahkan gas LPG bersubsidi dirampas dalam serbuan di sebuah stor haram di Jalan Sukepi, Kampung Jenjarom, hari ini.

Menurutnya, operasi dengan kerjasama anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor itu turut menemui sebuah lori tangki yang masih disambungkan hos pemindahan kira-kira 20,000 kg gas LPG.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM374,659.20. Selain itu, kita turut menahan dua lelaki iaitu pekerja di premis berusia 25 dan 35 tahun," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan hari ini.

Aminuddin berkata, siasatan mendapati sindiket ini dipercayai mendapatkan gas LPG bersubsidi daripada pembekal sebelum memindahkan ke gas industri dan diedar di sekitar Lembah Klang khususnya di premis hotel dan kilang.

Ribuan tong gas LPG bersubsidi dirampas KPDNHEP Selangor dalam serbuan di sebuah stor di Jalan Sukepi, Kampung Jenjarom hari ini.
Ribuan tong gas LPG bersubsidi dirampas KPDNHEP Selangor dalam serbuan di sebuah stor di Jalan Sukepi, Kampung Jenjarom hari ini.

Menurutnya, pihaknya kini sedang mengesan pembekal, pemilik tanah dan kenderaan terbabit untuk tindakan lanjut termasuk di bawah Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Artikel Berkaitan:

Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.