Kegiatan seleweng gas LPG tumpas

Anggota penguatkuasa KPDN menunjukkan antara tong gas LPG yang dirampas dalam serbuan itu.
Anggota penguatkuasa KPDN menunjukkan antara tong gas LPG yang dirampas dalam serbuan itu.
A
A
A

KUALA LANGAT - Kegiatan penyelewengan tong gas petroleum cecair (LPG) tumpas dalam serbuan di sebuah premis dipercayai stor haram di Kampung Pantai, Tanjung Sepat di sini pada 5 Julai lalu.

Serbuan dijalankan kira-kira jam 1 petang oleh sepasukan anggota dan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu dijalankan berdasarkan risikan yang dijalankan selama sebulan.

Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Operasi) KPDN, Shamsul Nizam Khalil berkata, hasil pemeriksaan telah menemukan beberapa peralatan dipercayai digunakan dalam aktiviti pemindahan LPG daripada tong LPG berkapasiti 14kg bersubsidi kepada tong LPG berkapasiti 50kg.

Menurutnya, tong LPG 50kg itu kemudiannya akan dijual kepada pihak industri dengan harga yang lebih rendah berbanding harga pasaran.

"Modus operandi sindiket ini adalah dengan membeli LPG 14kg bersubsidi terus daripada lori-lori penghantaran LPG di sekitar daerah Sepang dan Banting.

"LPG bersubsidi tersebut kemudiannya akan dibawa ke stor haram tersebut sebelum dipindahkan ke tong LPG 50kg untuk kegunaan industri," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Antara peralatan digunakan dalam kegiatan penyelewengan gas LPG yang dirampas menerusi serbuan di premis berkenaan.
Antara peralatan digunakan dalam kegiatan penyelewengan gas LPG yang dirampas menerusi serbuan di premis berkenaan.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM94,479.40.

"Antara dirampas adalah beberapa tong gas kosong dan berisi pelbagai jenama berkapasiti 14kg dan 50kg, kenderaan jenis lori tiga tan serta alat timbang.

"Selain itu turut dirampas adalah hos penyambung serta beberapa dokumen perniagaan lain yang turut ditemui telah disita bagi siasatan lanjut," katanya.

Menurutnya, kertas siasatan dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

"Siasatan dijalankan bagi mengenalpasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta mengenalpasti rantaian pengedaran LPG berkenaan.

"KPDN ingin memberi amaran keras terhadap mana-mana individu atau syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan," katanya.

Tegas beliau, KPDN sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti haram ini.

"Tindakan tegas akan diambil termasuklah mendakwa mereka di mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

"Aktiviti penguatkuasaan akan sentiasa dipertingkatkan bagi memastikan aktiviti haram ini dapat dibendung daripada terus berleluasa," katanya.