Pahang tetap di hati saya: Al Sultan Abdullah

Al Sultan Abdullah bertitah usai istiadat pemasyhuran Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim di Balairong Istama Abu Bakar, Pekan, di sini hari ini
Al Sultan Abdullah bertitah usai istiadat pemasyhuran Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim di Balairong Istama Abu Bakar, Pekan, di sini hari ini
A
A
A

PEKAN - "Walaupun selepas ini saya akan berada jauh dari mata, namun Pahang akan tetap dekat di hati saya".

"Insyallah saya akan sentiasa kembali jika berkesempatan bagi membolehkan ikatan keakraban dan kasih saya kepada rakyat jelata akan terus terjalin," Demikian titah

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah.

Baginda bertitah demikian kepada seluruh rakyat jelata usai istiadat pemasyhuran Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah di Balairong Istana Abu Bakar di sini, hari ini.

Al Sultan Abdullah bertitah baginda merasakan masa pantas dan tidak berkesempatan untuk menziarahi setiap pelusuk negeri untuk bersama sama dengan rakyat yang tidak putus merakamkan ucapan tahniah dan doa sebelum memulakan tugasan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari ini.

"Berkat ketentuan dari ALLAH serta perkenan daripada Duli-Duli yang Mulia Raja-Raja Melayu, saya akan berangkat meninggalkan negeri yang saya sayangi untuk menggalas tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong ke 16 pada 31 Januari.

"Izinkan saya mengambil kesempatan bagi merakamkan setinggi-tinggi junjungan kasih kepada Menteri Besar Pahang, kerajaan Negeri Pahang dan seluruh rakyat jelata di atas kesetiaan serta doa kepada saya selama ini.

Dalam pada itu, baginda turut berpesan kepada Tunku Azizah supaya baginda terus berbakti serta menerangi dan menyinari rakyat jelata di setiap pelusuk negeri seperti permata indah yang laksana bidadari di dunia dan permaisuri di Jannah.

Artikel Berkaitan:

Titahnya, Tengku Hassanal akan memikul tanggungjawab untuk memelihara serta mempertahankan legasi kesultanan Melayu Pahang yang merupakan waris ganti kepada baginda (paduka Ayahanda).

"Oleh yang demikian, ambilah pengajaran daripada pepatah Melayu lama yang berbunyi umpama minyak setitik, di laut sekalipun timbul juga.

"Jika paduka anakanda berbuat baik, paduka anakanda akan tetap dimuliakan walau di mana mana sekalipun.

"Perlu diingat bahawa setiap sesuatu kurniaan di muka bumi Allah datang bersama-sama tugas dan amanah yang wajin dijunjung.

"Oleh itu laksanakan tugas dan amanah tersebut dengan penuh ketakwaan. jangan sekali-kali juga paduka anakanda bersikap riak dan angkuh. Ambil resam padi makin berisi makin menunduk," titahnya.

Tambah baginda, pemasyhuran Tengku Ampuan Pahang dan Tengku Mahkota Pahang bukan sekadar simbolik malah melengkapkan kedudukan raja pemerintah yang menjadi punca bagi segala kuasa di negeri ini.