Penyewa Kampung Jawa diarah kosong rumah

Zainal (kanan) melihat sebuah bilik sewa yang telah dikosongkan di Kampung Jawa, Melaka hari ini sebelum kerja-kerja merobohkan penempatan kayu itu dilakukan esok.
Zainal (kanan) melihat sebuah bilik sewa yang telah dikosongkan di Kampung Jawa, Melaka hari ini sebelum kerja-kerja merobohkan penempatan kayu itu dilakukan esok.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Lebih 23 penyewa yang sudah lama mendiami Kampung Jawa di sini runsing apabila mereka terpaksa mengosongkan penempatan itu hari ini.

Mereka mendakwa, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengeluarkan notis Bangunan Tidak Layak Diduduki dalam masa singkat sehingga mereka buntu untuk mencari rumah atau bilik sewa lain dalam masa terdekat.

Penduduk, Che Salehudin Abdullah, 67, yang tinggal seorang diri di situ sejak 25 tahun lalu berkata, dia masih belum mendapat tempat berteduh sebelum kerja-kerja merobohkan binaan kayu itu akan dilakukan esok.

Che Salehudin Abdullah
Che Salehudin Abdullah

Menurutnya, dia yang hanya meneruskan kelangsungan hidup dengan bekerja sebagai penjaga tandas bimbang untuk mencari tempat teduh lain biarpun terpaksa segera mengosongkan kawasan tersebut.

Katanya, dia yang turut menjaga seorang anak buah orang kurang upaya (OKU) tinggal kawasan itu sejak lebih 20 tahun lalu kerana sewa yang murah dan tidak membebankan biarpun tinggal dalam keadaan serba kekurangan termasuk masalah air dan bumbung bocor.

"Memang tak ada persediaan apa nak pindah, nak sewa bilik pun perlukan deposit rumah. Dari segi kewangan saya tak mampu.

"Kalau mereka berikan tempoh sebulan, bolehlah kita cari jalan lain. Ini esok sudah nak kena roboh. Ke mana saya nak pergi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi Norrinah Osman, 57, dia mendakwa penduduk seperti pelarian terpaksa berpindah randah dengan masalah kesihatan dan kurang berkemampuan.

Norrinah Osman
Norrinah Osman

Dia yang tinggal di kawasan setinggan itu lebih 20 tahun mengakui terpaksa menetap di situ kerana sewanya yang murah dengan kadar RM50 sebulan.

Katanya, biarpun mempunyai anak, namun dia tidak mahu menyusahkan anak-anak kerana mereka juga mempunyai keluarga sendiri dan hanya bekerja biasa.

"Nak cari bilik sewa terpaksa pinjam duit dengan adik untuk bayar deposit. Lagipun saya tidak bekerja dan mengalami sakit lutut," katanya yang mendapat bilik sewa di Pengkalan Rama.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Abu berkata, kesemua mereka perlu berpindah mengikut notis di bawah Seksyen 83(1) Akta 133 yang dikategorikan sebagai tidak selamat didiami.

Menurutnya, pihaknya akan bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi memastikan kesemua mereka mendapatkan penempatan yang baharu dan lebih selesa.

"Mereka diarahkan berpindah memandangkan penempatan yang sudah lama itu menimbulkan pelbagai isu dari segi kebersihan memandangkan kawasan berdekatan tumpuan pelancong selain bimbang berlaku aktiviti tidak sihat dan masalah sosial.

"Isu perpindahan sudah diputuskan pada Mesyuarat Exco Julai lalu. Kawasan ini di bawah pentadbiran MBMB, jadi kita sudah maklumkan hal ini dan notis juga telah dikeluarkan.

"Maka tak sepatutnya timbul soal kita berikan notis dalam tempoh singkat dan mereka seharusnya bersedia," katanya.

Sinar Harian pada 19 Julai lalu menyiarkan lebih 40 orang termasuk kanak-kanak yang menjadi penghuni bilik sewa di Kampung Jawa di sini dihantui masalah terputus bekalan air sejak tiga bulan lalu.

Difahamkan, kawasan yang didirikan bilik sewa lebih 20 pintu itu dengan kadar sewa RM80 hingga RM200 itu wujud atas tanah persendirian sejak lebih 20 tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Enam beranak tinggal di bilik sempit akan dipindahkan

'Saya perlukan rumah untuk berteduh'

Popularkan semula nama Kampung Jawa