X

Kindly register in order to view this article
!

Enam beranak tinggal di bilik sempit akan dipindahkan

Latipah (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Siti Rafizah di Kampung Jawa hari ini.
A
A

MELAKA TENGAH - Nasib enam beranak yang tinggal dalam bilik kecil di tepi Sungai Kampung Jawa, di sini terbela apabila mereka akan dipindahkan ke kediaman lebih selesa di bawah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dalam masa terdekat ini.

Perkara itu disahkan oleh Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan, Datuk Latifah Omar yang menyantuni keluarga itu di sini hari ini.

Latipah berkata, pelbagai agensi berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah memberikan bantuan segera sebanyak RM300 selain pihaknya akan mengatur bantuan bulanan kepada keluarga itu.

Menurutnya, lawatan yang disertai Jabatan Pendidikan Melaka dan Jabatan Pendaftaran Melaka (JPN) serta MAIM akan membantu wanita itu keluar daripada kepompong kemiskinan selain memastikan semua anak-anaknya memiliki surat beranak bagi memudahkan urusan persekolahan termasuk membantu mendaftarkan kelahiran bayi berusia 25 hari yang belum mempunyai surat beranak.

"Kita prihatin dengan keadaan keluarga ini yang daif dan tinggal dalam sebuah bilik kecil bersaiz 10x10 kaki persegi dengan enam kanak-kanak termasuk bayi.

"Jadi saya akan membantu mereka untuk berpindah dari kawasan ini yang bukan sahaja persekitarannya tidak sihat, malah tidak selamat kerana bilik mereka terletak di tepi sungai," katanya kepada Sinar Harian.

Hadir sama, Pengarah JKM negeri, Burhanuddin Bachik.

Latipah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning berkata, beliau berharap wanita berusia 27 tahun itu mempunyai semangat untuk mengubah nasib keluarga dan tidak terus membiarkan anak-anaknya tinggal dalam keadaan yang daif.

"Kita kasihan kepada anak-anak ini dan kerana itu kita juga bercadang untuk menempatkan anak-anak yang sepatutnya bersekolah termasuk anak sulungnya berusia 12 tahun untuk ditempatkan di rumah kebajikan agar mereka mendapat pendidikan sewajarnya," katanya.

Pada lawatan itu, Latipah turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga tersebut.

Ahad lalu, Sinar Harian menyiarkan kisah seorang ibu tunggal memohon bantuan rumah daripada pihak berkenaan selepas bilik sewa yang didiami mereka sekeluarga sebelum ini di Kampung Jawa akan dibaik pulih.

Siti Rafizah Moslan, 27, berkata, dia bersama enam anaknya berusia tiga hingga 12 tahun termasuk bayi 25 hari menyewa bilik itu dengan kadar bayaran RM80 sebulan.

Bagaimanapun katanya, bilik yang menjadi tempat tidur, tempat bermain anak-anak dan tempat dia memasak itu akan dirobohkan tidak lama lagi.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!