Pamer ayat al-Quran, pemilik restoran bukan Islam diberi amaran

Restoran yang telah tiga tahun beroperasi didapati mempamer representasi takrif halal melalui penggunaan ayat-ayat al-Quran di dalam premis sebagai dorongan makanan di situ halal kepada pelanggan Muslim.
Restoran yang telah tiga tahun beroperasi didapati mempamer representasi takrif halal melalui penggunaan ayat-ayat al-Quran di dalam premis sebagai dorongan makanan di situ halal kepada pelanggan Muslim.
A
A
A

MANJUNG - Pengusaha sebuah restoran di Seri Manjung, di sini diberi amaran selepas dikesan menggunakan hiasan ayat al-Quran tanpa kelayakan yang sah di dalam premis hingga mengelirukan pelanggan Muslim.

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Manjung, Wan Muhammad Badro Wan Mahmood berkata, dalam pemeriksaan sekitar jam 11 pagi hari ini didapati premis yang telah tiga tahun beroperasi itu dimiliki orang bukan Islam dan menyediakan makanan serta minuman kepada orang awam.

Menurutnya, peniaga berkenaan turut gagal mengemukakan suatu perakuan atau pengesahan daripada Jabatan Agama Islam yang melayakkan premis menggunakan representasi terbabit di dalam premis.

Pemeriksaan dijalankan Pegawai dan anggota KPDNHEP Manjung di sebuah restoran di Seri Manjung hari ini
Pemeriksaan dijalankan Pegawai dan anggota KPDNHEP Manjung di sebuah restoran di Seri Manjung hari ini

"Aduan mengenai operasi restoran ini telah diterima daripada orang awam dan siasatan awal mendapati, mereka telah mempamerkan representasi takrif halal melalui penggunaan ayat-ayat al-Quran di dalam premis sebagai dorongan makanan di situ halal kepada pelanggan Muslim.

"Kita telah bertindak menahan pemilik perniagaan itu untuk diambil keterangan dan beberapa barangan terlibat juga telah disita untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, kes akan disiasat di bawah kesalahan Perenggan 4 Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Katanya, KPDNHEP Manjung memandang serius dan akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga-peniaga yang menggunakan perbahasan halal ke atas premis dan barang-barang makanan serta perkhidmatan keluaran mereka.

Artikel Berkaitan:

"Pengusaha restoran atau syarikat-syarikat juga diingatkan untuk memastikan bahawa setiap makanan atau barang-barang keluaran mereka hanya menggunakan perakuan dan penandaan halal daripada pihak berwibawa sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang," katanya.

Jika terdapat mana-mana premis yang diragui atau didapati melakukan kesalahan penyalahgunaan ungkapan dan penandaan halal, masyarakat disaran melaporkannya menerusi Bilik Gerakan KPDNHEP Manjung di talian 05-6871100 atau Pusat Arahan Penguatkuasaan (Enforcement Command Centre) 03-8882 6088 atau 03-8882 6245.